- Iklan -
Berita

Agihan kerusi PRN 6 negeri sudah dimuktamadkan, kata Anwar

Perdana menteri berkata tarikh pengumuman calon akan diberikan dalam masa beberapa hari lagi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) mempengerusikan Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, bersama pemimpin parti lain. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) mempengerusikan Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, bersama pemimpin parti lain. Gambar: Bernama

Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan telah memuktamadkan pembahagian kerusi di enam negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut malam ini.

“(Pembahagian kerusi) telah dimuktamadkan di semua negeri, ada satu dan dua negeri sahaja (yang ada persoalan) kita akan bincang dan malam ini selesai.

“Pengumuman calon (bagi PRN) dalam dua ke tiga hari lagi kita bagi tarikh,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). 

Turut hadir beberapa pemimpin utama Kerajaan Perpaduan iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Fadillah Yusof dan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu.

Perdana menteri berkata “Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran” adalah tema yang akan digunakan oleh parti-parti dalam kerajaan campuran bagi menghadapi PRN tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap negeri yang terlibat dengan PRN boleh membuat slogan tambahan manakala manifesto pilihan raya juga akan ditetapkan oleh pimpinan negeri masing-masing.

“Kita berbincang soal gerak kerja dan strategi dalam menghadapi PRN di enam negeri dan kita berpuas hati. Nampak semangat pendukung setia dapat dilonjakkan dan saya percaya berdasarkan laporan, kita bukan saja boleh bertahan di tiga negeri tapi nampak satu keyakinan untuk menawan beberapa negeri lain,” katanya.

Anwar berkata mesyuarat juga bersetuju keutuhan kerajaan campuran terus diperkukuh supaya dapat memacu pertumbuhan ekonomi selain menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

“Saya sangat terharu dan bangga dengan kenyataan daripada pimpinan menyatakan kesediaan mereka untuk terus memperkukuh dan mengelak desas-desus daripada golongan terdesak menggunakan sentimen perkauman yang sempit atau agama secara melulu serta jumud dan kemudian memberikan gambaran seolah-olah akan ada perubahan (kerajaan). 

“Apa yang disebut di sini yang mewakili majoriti besar ahli-ahli Parlimen ialah tetap dengan pengukuhan Kerajaan Perpaduan sehingga selesai dan tamat selama lima tahun,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata Jelajah Perpaduan MADANI dan pelancaran jentera perpaduan akan diteruskan di Kedah pada 15 Julai diikuti Pulau Pinang (16 Julai), Kelantan (23 Julai), Negeri Sembilan (27 Julai) dan Terengganu (28 Julai).

Mesyuarat malam ini turut disertai Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Premier Sarawak Abang Johari Openg, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.