- Iklan -
Berita

Kumpulan lancar kempen pastikan ketua menteri Pulau Pinang Cina

Tindakan Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang muncul ketika perdebatan tercetus susulan ucapan kontroversi Lim Guan Eng yang memberi amaran kepada pengundi bukan Islam terhadap ancaman 'gelombang hijau'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang ialah salah satu persatuan tertua yang mewakili kepentingan perniagaan dan budaya masyarakat Cina Pulau Pinang. Gambar: Facebook
Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang ialah salah satu persatuan tertua yang mewakili kepentingan perniagaan dan budaya masyarakat Cina Pulau Pinang. Gambar: Facebook

Sebuah persatuan besar Cina di Pulau Pinang melancarkan kempen untuk memastikan ketua menteri di negeri itu akan datang adalah dalam kalangan masyarakat Cina. 

Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang, yang sekian lama dianggap sebagai persatuan berasaskan perniagaan dan budaya mewakili masyarakat Cina, menjemput media untuk membuat liputan bertajuk "Sokong Kesinambungan Ketua Menteri Cina di Pulau Pinang" di George Town, esok. 

"Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menjaga hak dan kepentingan masyarakat Cina di Pulau Pinang," katanya. 

Jurucakap persatuan itu ketika dihubungi mengesahkan atur cara dan tema bagi majlis itu. 

Ini berlaku di tengah-tengah perdebatan yang tercetus susulan amaran Pengerusi DAP Lim Guan Eng kepada pengundi Pulau Pinang "gelombang hijau" akan menafikan hak beragama dan budaya orang bukan Islam jika ia berkuasa di negeri itu.

DAP merujuk “gelombang hijau” kepada Perikatan Nasional (PN).

Lim juga mengkritik mana-mana pengundi di Pulau Pinang yang menyokong "gelombang hijau" sebagai pembelot.

"Kami adalah rakyat Pulau Pinang, bukan Wu Sangui," Lim dipetik sebagai berkata oleh China Press pada 7 Julai, merujuk kepada seorang jeneral Cina purba yang mengkhianati Dinasti Ming dengan membiarkan tentera Manchu menakluk China.

Kenyataannya itu mendapat kecaman daripada pelbagai kumpulan, yang menggesa polis menyiasat bekas ketua menteri itu kerana menghasut. 

Bukit Aman melancarkan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505b Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Pulau Pinang, yang sekian lama dianggap sebagai kubu kuat DAP, adalah satu daripada enam negeri yang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos, dilihat secara meluas sebagai referendum ke atas kerajaan campuran Anwar Ibrahim yang berusia lapan bulan.

PN, yang kini memerintah Kelantan, Terengganu dan Kedah, berkata gabungan politik itu juga memberi tumpuan untuk menawan Pulau Pinang, selain Negeri Sembilan dan Selangor, tiga negeri Pakatan Harapan, dalam PRN akan datang. 

Sejak merdeka, Pulau Pinang mempunyai lima ketua menteri, yang kesemuanya dari kaum Cina.