- Iklan -
Berita

Polis buka kertas siasatan ke atas MB Kedah berkait isu 3R, kata KPN

Ketua Polis Negara Razarudin Husain pihaknya turut menyiasat individu penting termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Bagan Lim Guang Eng serta bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama

Polis membuka kertas siasatan semalam terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja), dalam ceramah politiknya baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata siasatan berkenaan kes itu, dijangka mengambil masa selama tujuh hari.

“Penyiasatan yang pantas kita lakukan. Sebenarnya tak boleh cepat tetapi kita akan buat siasatan yang mana kita ada pasukan petugas yang akan menyiasat kes berkaitan 3R ini, yang dianggotai seramai 21 pegawai.

“Dalam siasatan kita (berkaitan 3R), daripada 27 Mac (sehingga kini), kita telah buka kertas siasatan berjumlah 61 kes termasuk kes terbaharu melibatkan Menteri Besar Kedah,” katanya dalam sidang media khas Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata siasatan berkaitan 3R berkenaan, dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya boleh katakan, bahawa siasatan yang telah lengkap akan dihantar ke pihak AGC (Jabatan Peguam Negara), termasuk kertas siasatan melibatkan ahli politik, bekas ahli politik, NGO dan orang awam,” katanya.

Razarudin berkata selain Muhammad Sanusi, pihaknya turut menyiasat individu penting termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Bagan dan juga bekas Menteri Kewangan Lim Guang Eng serta bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Beliau berkata sebahagian kertas siasatan telah diangkat ke Jabatan Peguam Negara, selaras dengan Perkara 145(3) iaitu Peguam Negara mempunyai kuasa, dan kuasa itu hendaklah dijalankan menurut budi bicara Peguam Negara, bagi membawa atau menjalankan atau memberhentikan apa-apa jua perbicaraan mengenai satu kesalahan.

Sementara itu, Razarudin memberi amaran bahawa PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan, terhadap sesiapa sahaja yang memainkan isu 3R, terutamanya ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

“Isu 3R ini melibatkan bangsa, agama dan raja. Tetapi ada pihak yang bercakap terlampau seronok hingga tidak menghiraukan perasaan orang lain, sampai sanggup mengaibkan dan memfitnah. Ini sepatutnya tidak berlaku.

“Apa perkataan yang mengaibkan institusi diraja, ia mendatangkan kegusaran dan ketidakharmonian. Jadi lebih bagus jangan bangkitkan isu 3R ini, terutamanya dalam musim pilihan raya negeri,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan terdapat video tular yang memaparkan Sanusi ketika menyampaikan politik didakwa memperlekeh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Amirudin Shari, sebagai menteri besar Selangor.