Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang membatalkan acara yang menggesa ketua menteri seterusnya hanya daripada kalangan masyarakat Cina, beberapa jam selepas DAP menamakan penyandang Chow Kon Yeow untuk jawatan itu sekali lagi jika parti itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Memandangkan kami baru sahaja menerima pengumuman oleh setiausaha agung DAP bahawa jawatankuasa pemilihan pusat sebulat suara memutuskan untuk terus menyokong Chow Kon Yeow untuk menjadi KM Pulau Pinang seterusnya, kami dengan ini memaklumkan bahawa jemputan untuk hadir... pada 14 /7 pada 10 pagi di PCTH dengan ini dibatalkan," menurut pertubuhan itu, yang mewakili kepentingan perniagaan Cina di Pulau Pinang hari ini.
Semalam, kumpulan itu menjemput media untuk menghadiri sidang akhbar bertajuk "Sokong Kesinambungan Ketua Menteri Cina Pulau Pinang".
"Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menjaga hak dan kepentingan masyarakat Cina di Pulau Pinang," katanya.
Ia berlaku di tengah-tengah perdebatan berterusan susulan amaran Pengerusi DAP Lim Guan Eng kepada pengundi Pulau Pinang mengenai "gelombang hijau" akan menafikan hak beragama dan budaya orang bukan Islam jika ia berkuasa di negeri itu.
DAP merujuk “gelombang hijau” kepada Perikatan Nasional (PN).
"Kami adalah rakyat Pulau Pinang, bukan Wu Sangui," Lim dipetik sebagai berkata oleh China Press pada 7 Julai, merujuk kepada seorang jeneral Cina purba yang mengkhianati Dinasti Ming dengan membiarkan tentera Manchu menakluk China.
Malam tadi, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata pemimpin parti sebulat suara menyokong Chow untuk kekal sebagai ketua menteri.
Beliau berkata langkah itu turut disokong oleh timbalan pengerusi Gobind Singh dan naib pengerusi M Kulasegaran.
“Keputusan ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan beliau telah merestui keputusan tersebut sebagai Pengerusi Pakatan Harapan,” kata Loke.
Pulau Pinang, yang lama dianggap sebagai kubu kuat DAP, adalah salah satu daripada enam negeri yang akan mengadakan PRN pada 12 Ogos dan secara meluas dilihat sebagai referendum terhadap kerajaan campuran Anwar yang berusia lapan bulan.
PN, yang kini memerintah Kelantan, Terengganu dan Kedah, berkata ia turut memberi tumpuan untuk menawan Pulau Pinang, selain Negeri Sembilan dan Selangor – tiga negeri di mana Pakatan Harapan (PH) berganding bahu dengan Umno dalam PRN akan datang.
Sejak merdeka, Pulau Pinang mempunyai lima ketua menteri yang kesemuanya adalah daripada kaum Cina.