- Iklan -
Berita

Semakan keputusan bela diri Bung Moktar, Zizie Izette didengar 7 September

Hakim Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas peguam M Athimulan yang mewakili Bung Moktar memaklumkan pihaknya memohon masa selama tiga minggu untuk memfailkan hujahan bertulis.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin (tiga dari kiri) dan isteri Zizie Izette Abdul Samad (dua dari kiri) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin (tiga dari kiri) dan isteri Zizie Izette Abdul Samad (dua dari kiri) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 7 September ini untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

Hakim Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas peguam M Athimulan yang mewakili Bung Moktar memaklumkan pihaknya memohon masa selama tiga minggu untuk memfailkan hujahan bertulis.

Mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan sebelum atau pada 4 Ogos ini serta hujahan balas pada 18 Ogos.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Low Chin How dan TPR Mohamad Fadhly Mohd Zamry. Pasangan suami isteri hadir ke mahkamah hari ini.

Pada 7 Julai lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan permohonan Bung Moktar, 63,  dan  Zizie Izette, 44, untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk merit permohonan itu didengar dan diputuskan.

Pada 9 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pasangan itu tanpa mendengar merit selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan, yang menyatakan pasangan itu menggunakan kaedah yang salah untuk memfailkan permohonan.

Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen melapangkan tarikh perbicaraan membela diri pasangan itu yang ditetapkan pada 10 Julai sementara permohonan tersebut diputuskan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.