Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih tidak menjawab pertanyaan berulang kali daripada MalaysiaNow, yang meminta mereka memberi penjelasan mengenai penafian akses selama 48 jam yang dialami portal berita itu pada 27 Jun lalu.
Ini berlaku meskipun pembantu kepada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, menafikan sebarang bertanggungjawab terhadap sekatan yang menyaksikan pengguna penyedia perkhidmatan internet (ISP) utama tempatan tidak dapat mengakses MalaysiaNow.
Fahmi sendiri tidak mengendahkan semua soalan daripada MalaysiaNow.
Sementara itu, pembantunya berkata perkara itu perlu dirujuk kepada SKMM, dan menggesa portal itu menyenaraikan soalannya secara rasmi secara bertulis.
Surat yang diminta itu diserahkan pada hari yang sama pada 5 Julai.
Sehingga hari ini, tiada sebarang jawapan balas daripada SKMM, termasuk daripada Ketua Bahagian Komunikasi Strategiknya Shirley Tan.
MalaysiaNow sudah berulang kali menghantar mesej di WhatsApp kepada Wan Amsyar Jailani dari Unit Komunikasi Korporat, namun tidak dilayan.
SKMM, yang merupakan pengawal selia internet negara, diberi kuasa untuk mengarahkan ISP menyekat laman sesawang yang "tidak diingini".
Pada masa lalu, sekatan sedemikian diperluaskan ke portal berita dan laman sesawang yang mengkritik kerajaan.
Episod bulan lalu adalah kali pertama dalam tempoh beberapa tahun membabitkan portal berita yang mempunyai akreditasi media disekat.
Pada 2016, portal berita The Malaysian Insider disekat yang dipercayai atas liputan bersiri portal berita itu mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sekatan terhadap MalaysiaNow berakhir pada 29 Jun, susulan kecaman daripada ahli politik pembangkang, kumpulan wartawan dan aktivis, yang kebanyakannya menggesa Fahmi untuk berterus terang mengenai perkara itu.
Siasatan pakar teknikal MalysiaNow bagaimanapun tidak menunjukkan apa-apa aktiviti luar biasa terhadap server kami.
Kecurigaan terhadap cubaan secara haram untuk menyekat portal berita itu didorong oleh fakta bahawa firma keselamatan siber global Cloudflare telah menafikan sebarang masalah pada sistem awannya.
Seorang juruteknik Cloudflare dalam jawapan kepada pertanyaan oleh MalaysiaNow berkata mereka "tidak dapat mengenal pasti" isu itu, sambil menambah log dalaman juga tidak menunjukkan "sebarang kod ralat yang spesifik".
Selain MalaysiaNow, satu lagi laman sesawang Malaysia Today, yang dikendalikan oleh penulis blog terkemuka dan pengkritik kerajaan Raja Petra Kamaruddin juga disekat melalui beberapa ISP tempatan.