- Iklan -
Berita

Zaid kritik Majlis Peguam kerana berdiam diri berhubung penggunaan Akta Hasutan

Ia berlaku selepas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor didakwa di mahkamah hari ini selepas siasatan pantas polis.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Peguam Zaid Ibrahim. Gambar: Bernama
Peguam Zaid Ibrahim. Gambar: Bernama

Peguam Zaid Ibrahim mempersoalkan pengkritik Akta Hasutan berhubung tindakan berdiam diri susulan penahanan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Zaid, yang menyokong pakatan Umno dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan tahun lepas, berkata kerajaan sibuk mengejar pengkritik mereka. 

"Pencapaian paling ketara kerajaan Madani ialah menggunakan Akta Hasutan terhadap lawannya. 

“Apabila lawan ini memohon maaf, menteri Madani menjawab, 'Itu tidak mencukupi'," katanya hari ini, beberapa jam selepas berpuluh-puluh polis hadir ke sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk menahan Sanusi. 

Komen Zaid mendapat sokongan daripada peguam Ambiga Sreenevesan. 

"Saya bersetuju dengan Zaid bahawa penggunaan Akta Hasutan terhadap musuh politik (dan sebenarnya terhadap sesiapa sahaja) oleh kerajaan ini adalah tidak boleh diterima sama-sekali. 

“Jadi bertentangan dengan Malaysia yang kita perjuangkan. Akta Hasutan mesti dimansuhkan!" kata bekas presiden Majlis Peguam itu di Twitter.

Sanusi didakwa atas ucapannya yang dikatakan mempersendakan prestasi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari serta pelantikannya oleh Sultan.

Beliau memohon ampun kepada Sultan Selangor, tetapi pemimpin kerajaan termasuk menteri undang-undang Azalina Othman Said terus mendesak agar siasatan diteruskan. 

Kehadiran Sanusi di mahkamah hari ini hanya lima hari selepas polis membuka kertas siasatan terhadap ahli politik popular PAS itu.

Dalam pada itu Zaid menempelak kepimpinan semasa Majlis Peguam, yang sebelum ini mengeluarkan kritikan berhubung penggunaan Akta Hasutan terhadap ahli politik PH. 

"Sekarang Sanusi akan didakwa, semua orang gembira. Tiada lagi tekanan ke atas Peguam Negara.

"Majlis Peguam, pembela kedaulatan undang-undang, tentu berpuas hati juga," tambahnya.