- Iklan -
Berita

Ada keperluan wujudkan unit penyelaras bagi tangani isu 3R, kata Fahmi

Agensi itu termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan polis.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmi Fadzil di Kuala Lumpur, 19 Julai. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmi Fadzil di Kuala Lumpur, 19 Julai. Gambar: Bernama

Terdapat keperluan untuk mewujudkan satu unit terselaras antara agensi penguat kuasa dan penyedia platform media sosial bagi menangani isu berkaitan 3R (raja, agama dan kaum), kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata agensi terlibat termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selaku agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan polis.

Katanya perkara itu dicapai dalam satu perbincangan bersama agensi berkenaan dan penyedia platform media sosial semalam, bagi memastikan tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk meraih sokongan politik dengan menyalahgunakan isu berkaitan 3R sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita tidak mahu ada bibit-bibit perpecahan akibat sentimen perkauman sempit menggunakan hujah yang dianggap sebagai keagamaan ekstrim atau memperlekeh, memperolok, hina dan hasut rakyat untuk tidak menghormati institusi raja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/ 2023, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sekiranya isu berkaitan 3R tidak boleh diulas atau disentuh khususnya dalam tempoh PRN ini, walaupun berbentuk ilmiah dan intelektual.

Fahmi berkata walaupun negara mengangkat hak kebebasan bersuara, namun ia tidak memberi ruang terhadap kebebasan untuk memfitnah, melaga-lagakan rakyat, mengadu-domba dan memainkan isu 3R. 

“Saya berpandangan kita ada undang-undang sedia ada dan sudah pasti untuk menjaga keamanan untuk keselamatan awam, pihak berkuasa bersedia untuk mengambil apa-apa tindakan yang wajar dan patut demi keamanan dan perpaduan dalam negara kita,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penahanan dan pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, Fahmi berkata perkara itu sewajarnya menjadi pengajaran kepada semua.