- Iklan -
Berita

'Adakah saya terlalu dramatik?' Kit Siang pertahankan amaran 13 Mei

Ini berlaku selepas dua pemimpin Perikatan Nasional menuduh veteran DAP itu cuba melakukan provokasi.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Veteran DAP Lim Kit Siang. Gambar: Bernama
Veteran DAP Lim Kit Siang. Gambar: Bernama

Lim Kit Siang dari DAP mempertahankan dakwaannya bahawa Malaysia kini berada di ambang rusuhan kaum, beberapa jam selepas beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) mengkritik ahli politik veteran itu, menuduhnya cuba melakukan provokasi.

"Adakah saya terlalu dramatik apabila saya mengatakan semalam yang 'Selepas 54 tahun, Malaysia menghampiri satu lagi episod kekecohan seperti 13 Mei 1969'," soalnya merujuk kepada kenyataannya semalam.

"Mari kita imbau kembali kepada hari-hari 11, 12, dan 13 Mei 1969. Adakah sesiapa menjangkakan yang rusuhan 13 Mei 1969 akan tercetus?"

Lim berkata sekiranya beliau mengetahui bahawa rusuhan 1969 "sedang dirancang dan akan meletus", beliau tidak akan mengadakan perarakan kemenangan pada 12 Mei di Melaka.

"Tetapi, kita hanya tahu selepas peristiwa tersebut. 

"Merenung kejadian rusuhan 13 Mei 1969, semua parti-parti politik dan calon-calon dalam enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini patut merendahkan suhu polarisasi hubungan antara kaum dan agama dan berhenti mengeksploitasi isu-isu 3R," kata Lim. 

Semalam, Lim, dalam satu kenyataan mempertahankan pertuduhan menghasut yang dikenakan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, mengatakan hubungan kaum Malaysia semakin tergelincir dan negara sedang menuju ke arah rusuhan 1969. 

Kenyataan itu mendapat kritikan daripada dua pemimpin PN, yang mempersoalkan motifnya membangkitkan insiden itu.

Timbalan Ketua Bersatu Shah Alam Dr Afif Bahardin berkata rakyat Malaysia dari semua kaum telah hidup aman damai.

“Tak timbul 13 Mei.

“Apa perlu Kit Siang sebut benda ini? Kenapa kena sebut ketika nak pilihan raya?” katanya dalam satu ceramah sempena Karnival Anak Muda Bangkit Selangor Baharu di Shah Alam malam tadi.

Sementara itu, bekas menteri Annuar Musa yang menyertai PAS baru-baru ini berkata adalah tidak perlu bagi Lim bercakap mengenai rusuhan 13 Mei.

“Bolehkah ia dibiarkan? 

“Rata-rata suasana sangat harmonis. 

“Tiada situasi api perkauman seperti yang pernah ditiupkan sesetengah pihak sebelum dan selepas 13 Mei 1969.

Tiada perarakan ala perarakan mayat 'pahlawan merah' 1969,” tulis Annuar di Facebook, merujuk kepada perarakan pro-komunis di Kuala Lumpur pada malam Pilihan Raya Umum 1969, di mana peserta membawa sepanduk berbaur perkauman.

Annuar berkata orang yang mencetuskan provokasi hari ini mengalih taktik mereka.

“Strategi kini adalah untuk ‘divide and rule’ pula, lalu dilontar provokasi sedemikian.”

Sementara itu, Lim sekali lagi menafikan tuduhan beliau bersalah menyebabkan rusuhan 13 Mei, yang menyaksikan keganasan antara etnik Melayu dan Cina selepas pilihan raya umum 1969. 

Beliau menyenaraikan lapan prinsip yang katanya harus menjadi asas bagi Malaysia "untuk menetapkan semula dasar dan hala tuju negara kepada prinsip-prinsip yang telah diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara". 

"Tidak ada sesiapa yang meminta mana-mana rakyat Malaysia untuk berhenti menjadi seorang Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan, atau Muslim, Buddha, Hindu, Tao, atau Sikh, tetapi kita semua perlulah mengutamakan identiti kita sebagai rakyat Malaysia sebelum identiti etnik, agama, atau kawasan kita," tambahnya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.