Seorang pemimpin Bersatu “membongkar” satu rahsia mengatakan bekas sekutunya yang kini menjawat jawatan menteri besar Selangor yang sebenarnya sangsi dan tidak meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dr Afif Bahardin berkata beliau sudah lama mengenali Amirudin Shari sejak berada dalam parti lamanya, PKR dah sama-sama bertanding dalam sayap Pemuda parti itu.
Menurut Afif, beliau dan Amirudin pernah berganding bahu bertanding jawatan ketua Pemuda PKR dan dirinya sebagai timbalan.
Bagaimanapun Amirudin tewas di tangan Nik Nazmi Nik Ahmad yang kini naib presiden PKR akan tetapi Afif menang.
Selepas bersahabat dalam tempoh yang lama, Afif berkata beliau mengetahui banyak “rahsia” pemimpin itu termasuklah siapa yang mendapat kepercayaan dan tidak dipercayai Amirudin.
“Dia pun bukan percaya sangat Anwar Ibrahim tu, dia sama je macam kita.
“Dia tak percaya Anwar Ibrahim tu, cuba tanya Datuk Saifudin (Abdullah),” kataya dipetik dalam ucapan di Shah Alam, Selangor malam tadi.
Afif dipecat daripada PKR dan menyertai Bersatu pada 2020 selepas berlakunya Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kali pertama tumbang.
Pada ketika itu, beliau turut meletakkan jawatannya sebagai exco kesihatan Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Afif juga mendakwa bekas sekutunya itu kini dalam kerisauan meskipun namanya sudah diumumkan oleh Anwar sebagai calon menteri besar sekiranya PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor.
“Anwar juga pernah umum sebelum pilihan raya dulu, saya tak akan kerja dengan Ahmad Zahid Hamidi, sekarang?
“Zahid Hamidi ni jadi hero,” katanya merujuk kepada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu di mana presiden PKR itu berkali-kali menafikan akan bekerjasama dengan Zahid.
Bagaimanapun selepas keputusan PRU15, Anwar dan Zahid bekerjasama untuk membentuk kerajaan campuran.