Bekas pembantu kepada Muhyiddin Yassin menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan minit mesyuarat Kabinet pada Oktober 2020 yang meluluskan rancangan kerajaan ketika itu untuk menghapuskan hutang peneroka Felda.
Ia berlaku selepas Marzuki Mohamad, yang berkhidmat sebagai ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri itu, mempersoalkan dokumen yang ditunjukkan oleh Anwar yang dikatakan olehnya sebagai bukti pelan pengecualian hutang itu diluluskan oleh beliau.
"Sekali pandang saya sudah tahu. Dokumen tersebut bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka Felda, tetapi perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat.”
Tiga bulan selepas mengambil alih jawatan pada 2020, Muhyiddin memulakan rancangan melupuskan hutang peneroka Felda.
Pelan itu diluluskan oleh Kabinet pada Oktober 2020, yang antara lain bersetuju untuk terbitan sukuk RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan untuk membiayai rancangan penstrukturan semula Felda.
Pada Februari tahun ini, Putrajaya berkata ia tidak dapat meneruskan rancangan Muhyiddin untuk menghapuskan pinjaman peneroka, memetik aliran tunai Felda.
Awal bulan ini, Anwar mendakwa Muhyiddin tidak pernah melaksanakan rancangan menghapuskan pinjaman peneroka, sebaliknya berkata beliau yang sebagai menteri kewangan menandatangani peruntukan sebanyak RM8.3 bilion pada Jun lalu.
Anwar sekali lagi mengulangi kenyataan itu pada 8 Julai, berkata Muhyiddin terlalu sibuk "nak cari kontrak untuk anak pinak".
Pada 18 Julai, Muhyiddin melalui peguamnya memberi Anwar 24 jam untuk menarik balik dakwaannya beliau tidak menunaikan janjinya untuk menghapuskan hutang peneroka.
Marzuki berkata sukuk RM9.9 bilion yang diluluskan pada Oktober 2020 adalah sebahagian daripada pelan pemulihan Felda yang termasuk menghapus kira 80% hutang peneroka bernilai RM8.3 bilion, pengambilalihan FGV, penyelesaian pinjaman dengan Maybank dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta peruntukan geran tahunan bernilai RM990 juta.
"Dokumen yang disiarkan menerusi kenyataan media perdana menteri tidak membuktikan pelupusan hutang peneroka hanya dibuat pada bulan Jun 2023.
"Ia adalah berkenaan penerbitan Sukuk Berjaminan Kerajaan yang memang merupakan sebahagian daripada keputusan Kabinet pada tahun 2020. Sesiapapun yang menjadi menteri kewangan mesti menandatangani dokumen ini.”