- Iklan -
Berita

3 bekas pelajar menang saman terhadap guru ponteng

Calvina Angayung, Nur Natasha Allisya Hamali dan Rusiah Sabdarin telah menyaman bekas guru bahasa Inggeris mereka kerana tidak hadir selama tujuh bulan ke kelas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Tiga bekas pelajar telah memenangi saman mereka terhadap seorang guru yang tidak hadir ke kelas selama tujuh bulan. Gambar: Pexels
Tiga bekas pelajar telah memenangi saman mereka terhadap seorang guru yang tidak hadir ke kelas selama tujuh bulan. Gambar: Pexels

Tiga bekas pelajar sekolah menengah di Kota Belud yang memenangi saman terhadap guru mereka kerana gagal hadir untuk mengajar selama tujuh bulan berharap kes itu akan menjadi pengajaran kepada semua pihak dalam memenuhi tanggungjawab masing-masing.

Calvina Angayung, 22, juga berharap kemenangan itu akan menjadi motivasi kepada orang lain yang masih mengambil sikap mendiamkan diri untuk bangkit memperjuangkan hak mereka.

"Kami menjadi mangsa ketidakadilan guru ini sehingga menyebabkan kami gagal dalam peperiksaan bagi subjek Bahasa Inggeris. Kemenangan ini adalah hadiah kepada semua pihak yang menyokong kami sejak awal.

"Terima kasih kepada saksi-saksi kami yang tampil dengan berani di mahkamah, NGO (badan bukan kerajaan) dan aktivis, ibu bapa, rakan-rakan serta masyarakat di luar sana yang sentiasa menyokong kami tanpa mengira di mana kami berada," katanya ketika dihubungi.

Seorang lagi plaintif, Nur Natasha Allisya Hamali pula berkata beliau lega kerana meskipun mengambil masa enam tahun, semua usaha mereka ternyata tidak sia-sia dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kemenangan itu.

Pada tahun 2020, Calvina, Nur Natasha Allisya dan Rusiah Sabdarin, yang berusia 22 tahun, menyaman bekas guru Bahasa Inggeris mereka iaitu Mohd Jainal Jamran yang didakwa tidak hadir untuk mengajar subjek itu selama tujuh bulan pada 2017, Pengetua sekolah ketika itu Suid Hanapi, Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan dan kerajaan.

Pada Selasa, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Leonard David Shim ketika membenarkan saman itu memutuskan bahawa kelima-lima defendan telah melanggar kewajipan statutori mereka dan jaminan perlembagaan untuk kesemua bekas pelajar terbabit mendapatkan pendidikan.

Mahkamah kemudian memberi pampasan sebanyak RM150,000 kepada ketiga-tiga plaintif.

Peguam Sherzali Herza Asli, yang mewakili kesemua pelajar, berkata adalah penting untuk kerajaan menyedari dan mengiktiraf kelemahannya serta menggubal dasar bagi memastikan akauntabiliti guru yang ingkar demi kesejahteraan dan prospek generasi masa depan negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian, berkata mereka yang berada dalam ekosistem sekolah mempunyai tanggungjawab masing-masing dan guru yang sepatutnya hadir ke kelas untuk mengajar namun gagal berbuat demikian, perlu mempunyai alasan munasabah.

"Meskipun pelajar harus berdisiplin dan menghormati guru, mereka tetap berpeluang bercakap dengan ibu bapa yang akan membangkitkan perkara itu kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru mengenai perkhidmatan yang diberikan di sekolah," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.