- Iklan -
Berita

Aksi luar tabii di Sepang cetus persoalan berhubung agensi kementerian diterajui Fahmi

Pemimpin MCA, Ti Lian Ker juga menyifatkan tindakan Fahmi Fadzil mengharamkan keseluruhan festival tersebut sebagai menghukum semua pihak kecuali artis dari Britain itu yang melakukan perbuatan kurang sopan.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama

Tindakan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengharamkan festival muzik di Sepang selepas sebuah kumpulan rock Britain melakukan aksi luar tabii di atas pentas termasuk mengutuk undang-undang berkaitan hubungan sejenis menimbulkan persoalan mengenai siapa yang pihak berkuasa sasarkan, sambil turut mempersoalkan kegagalan sebuah agensi di bawah kementeriannya yang ditugaskan untuk memantau penghibur asing.

Naib Presiden MCA Ti Lian Ker berkata pengharaman semua Festival Good Vibes selama tiga hari adalah tindakan yang keterlaluan dan hanya menganiaya mereka yang tiada kena mengena dengan penyanyi Matty Healy dan aksi biadap kumpulan itu malam tadi.

“Jika ini adalah satu lagi ‘penipuan politik’ untuk menunjukkan bahawa kerajaan perpaduan bukanlah seperti yang dianggap memandangkan Pilihan Raya Negeri akan datang, maka penganjur adalah mangsa situasi dan tidak sepatutnya dihukum atas kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain di luar kawalan mereka,” kata Ti dipercayai merujuk kepada penafian yang kerap dilakukan oleh pemimpin kerajaan atas tuduhan bahawa ia membenarkan gaya hidup LGBT.

Fahmi hari ini mengumumkan pengharaman baki dua hari lagi festival itu, acara tahunan yang diadakan sejak 2013, berikutan aksi kurang sopan Matt Healy dari kumpulan rock The 1975 di atas pentas.

Bagaimanapun, Ti berkata pengharaman keseluruhan acara itu adalah umpama pepatah Melayu, "Marahkan nyamuk, kelambu dibakar". 

"Tindakan harus disasarkan kepada 'nyamuk' yang ada pada Matt Healy atau The 1975," tambahnya.

Malam tadi, Healy mengeluarkan kata-kata kasat yang sarat dengan ucapan membantah undang-undang Malaysia terhadap amalan hubungan sejenis. 

Dia dan seorang lagi ahli kumpulan lelaki ketika itu berciuman di atas pentas, selain merokok dan minum arak serta merosakkan dron yang diterbangkan berhampiran pentas.

"Mengarut tidak masuk akal untuk memberitahu orang ramai apa yang mereka boleh lakukan dengan itu dan itu," katanya sambil menunjuk ke mulut dan pangkal paha.

"Saya akan ambil wang anda, anda boleh haramkan saya, tetapi saya pernah lakukan ini sebelum ini dan rasanya tidak bagus dan saya sudah kesal." 

Penghibur asing di Malaysia tertakluk kepada tapisan ketat dan peraturan lain oleh Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal), sebuah badan di bawah kementerian yang dipimpin Fahmi. 

Ti berkata agensi itu sepatutnya mengetahui sejarah Healy dan mengelak risiko dia mengulangi apa yang dilakukannya di Dubai. 

"Pihak berkuasa tidak sepatutnya meluluskan persembahannya di sini dan tidak mengambil risiko perbuatan berulang," katanya sambil menambah bahawa kerajaan tidak sepatutnya mengenakan hukuman kepada penganjur atau pembeli tiket dengan membatalkan keseluruhan acara walaupun sudah diluluskan.

“Aksi bercium dengan pasangan sejenis di atas pentas ini adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima oleh kami tetapi tindakan menteri itu adalah contoh buruk yang mempunyai implikasi besar kepada industri hiburan kita.”

Sementara itu, penganjur festival Future Sound Asia berkata perkembangan terbaru memberi implikasi kewangan yang besar kepada syarikat itu. 

Syarikat itu dalam satu kenyataan, berkata Healy memberi jaminan kepada mereka untuk mematuhi garis panduan.

"Tindakannya mengejutkan kami, dan kami menghentikan persembahan itu serta merta berikutan insiden itu. Tingkah laku Healy yang tidak profesional dan melanggar undang-undang dan peraturan adalah mengganggu dan dia memilih untuk menggunakan persembahannya sebagai platform untuk menyatakan pandangan peribadinya, daripada menyampaikan persembahan berkualiti yang dinanti-nantikan peminatnya."

Peniaga makanan Festival Good Vibes, Nazri. Gambar: Twitter
Peniaga makanan Festival Good Vibes, Nazri. Gambar: Twitter

Di media sosial, tiga peniaga makanan yang menyewa ruang di festival itu berkata mereka mengalami kerugian berikutan keputusan kerajaan untuk menghentikan festival itu.

"Saya harap ini sampai kepada awak Fahmi Fadzil. Saya faham implikasi kejadian malam tadi dan kesannya terhadap rakyat Malaysia dari sudut sosial, politik dan ekonomi," kata salah seorang daripada mereka yang mengenalkan dirinya sebagai Nazri dalam video yang dimuat naik di Twitter.

Beliau berkata penyewa tapak masing-masing membelanjakan sekurang-kurangnya RM15,000 untuk stok makanan sahaja bagi acara itu. 

"Ini bukan jumlah yang kecil untuk usahawan seperti kami. 

“Bagaimana kami hendak meneruskan hidup selepas ini?" soal Nazri, sambil menambah bahawa sebaliknya mereka "yang sebenarnya bersalah" harus dihukum.