- Iklan -
Berita

Pengundi luar Terengganu untungkan PAS atau Umno?

Pengundi luar bandar dilihat sebagai penentu di Terengganu, di mana Umno masih bertahan di kubu kuatnya.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Jambatan Angkat Kuala Terengganu, merupakan mercu tanda yang merentasi Sungai Terengganu dari bandar Kuala Terengganu.
Jambatan Angkat Kuala Terengganu, merupakan mercu tanda yang merentasi Sungai Terengganu dari bandar Kuala Terengganu.

Wan Hana Wan Jusoh, 38, merupakan gadis kelahiran Kuala Terengganu di Terengganu yang keluar merantau di Kuala Lumpur sejak 10 tahun lepas untuk mencari sesuap nasi.

Biarpun menjadi perantau bagi mencari rezeki di negeri orang, wanita itu tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawab untuk pulang mengundi setiap kali musim pilihan raya.

Pekerja swasta itu berkata, dia pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan penguasaan di negeri itu walaupun dengan kemenangan tipis.

Pada PRU13, BN yang diterajui Umno memperoleh 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PAS yang pada ketika itu bersama Pakatan Rakyat (PR) menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menang 14 kerusi manakala PKR hanya mendapat satu kerusi.

“Pertama kali saya undi pada umur 27 tahun dan mengundi BN. Tetapi saya ini bukan penyokong tegar parti itu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Hana berkata pada ketika itu dia memilih Umno dan BN kerana merasakan parti itu menawarkan lebih banyak bantuan kepada rakyat Terengganu.

“Memang tidak dapat dinafikan pentadbiran Umno-BN lagi bermurah hati bagi banyak bantuan terutama kepada anak muda.

“Dan saya pula pertama kali mengundi, bila dapat banyak bantuan jadi kita pun sukalah,” katanya.

Seperti ramai kawan-kawannya, Hana menukar sokongannya dengan mengundi PAS pada PRU14 pada 2018 dan PRU15 tahun lepas.

“Sentimen pengundi luar pada PRU14 dan PRU15 lebih kurang sama. Masa PRU14 memang Umno ada banyak isu dengan isu rasuah Najib Razak, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kemudian pentadbiran Umno di Terengganu juga bermasalah. Banyak pembaziran berlaku, banyak projek gajah putih.

“Ini termasuk isu dalaman Umno bila pelantikan calon semasa PRU, meletakkan calon yang ditolak rakyat yang pernah kalah, orang luar,” katanya.

Umno-BN tak berubah

Hana berkata hal itu mengundang kemarahan kepada pengundi luar, terutama pengundi atas pagar yang mengalihkan sokongan kepada PAS.

Sentimen PRU15 juga tidak banyak berbeza apabila BN masih lagi bergelut dengan isu dalaman menyebabkan pengundi sekali lagi menolak parti itu, katanya.

Ditanya pula mengenai kecenderungan sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini, gadis itu mengakui kemungkinan akan sama seperti PRU15.

“Sebab saya tengok Umno-BN masih sama sahaja dan kalau ikut prestasi PAS jadi kerajaan negeri sebenarnya agak baik.

“Pentadbiran PAS kali ini tak nampak isu yang besar boleh membangkitkan kemarahan pengundi. Dan rakan-rakan saya pun cakap benda yang sama juga,” katanya.

Pengundi luar boleh dikatakan menjadi deposit tetap kepada PAS di Terengganu.

Menurut Setiausaha Sekretariat Kepimpinan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (Perantau), Awasi Mohamad pengundi luar memberi sumbangan besar dalam kemenangan PAS di Terengganu.

“Memang pengundi luar ini beri kesan sangat positif yang membantu PAS. Biarpun kita tak ada maklumat yang terperinci berapa jumlah pengundi luar ini.

“Tetapi anggaran kita adalah sebanyak 10% ke 15 % jumlah pengundi luar yang mewakili bagi setiap kawasan DUN,” katanya.

Kerana itu, Awasi berkata Perantau kini memperhebatkan kempen kesedaran bagi pengundi luar ini untuk balik mengundi.

Beliau turut menjangkakan momentum sokongan pengundi luar pada PRU15 masih berterusan bahkan akan lebih besar.

“Bacaan kita memang gelombang pengundi luar akan sangat besar untuk PRN kali ini, dan ia bukan berlaku di Terengganu sahaja sebenarnya di semua negeri menghadapi PRN,” katanya.

PAS memperoleh kemenangan besar di Terengganu semasa PRU14 apabila mengalahkan BN di Terengganu, kali kedua sejak 1999.

Pada ketika itu, PAS menang 22 daripada 32 kerusi DUN manakala enam daripada lapan kerusi Parlimen, sementara BN hanya menang dua.

Pada PRU15 PAS berjaya meneruskan penguasaan dengan menempa sejarah buat pertama kalinya menyapu bersih kesemua lapan kerusi Parlimen Terengganu.

Kemenangan di negeri itu juga dengan majoriti yang sangat besar sebagai contoh di kawasan Parlimen Marang, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menang dengan majoriti 41,729 undi.

Kemenangan besar PAS itu menumbangkan nama besar pimpinan Umno negeri antaranya pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said di kerusi Parlimen Kemaman.

Faktor kemenangan PAS

Mengulas mengenai hal itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berkata pengundi luar sememangnya menjadi antara faktor kemenangan PAS di negeri pantai timur itu.

Beliau berkata senario itu sudah terbukti apabila 85%  pengundi luar yang balik di negeri itu mengundi PAS dan akhirnya menyumbang kemenangan besar menyapu bersih lapan kerusi Parlimen pada PRU15.

Katanya, sokongan utuh pengundi luar turut dikaitkan dengan gelombang kebangkitan PAS.

“Kalau kita tengok PAS menang akhir-akhir ini PRU14 mereka menang di Terengganu sama juga PRU15 kerana ada gelombang.

“Gelombang inilah yang mencetuskan sokongan pengundi luar. Sebab itu PAS boleh menang besar,” katanya.

Mazlan berkata tanpa gelombang PAS tidak akan begitu menang seperti mana berlaku pada 2004.

“Pada tahun 1999 PAS menang di Terengganu kerana waktu itu faktor gelombang Anwar Ibrahim di mana PAS menjadi sebahagian rakan gabungan bersama PKR dan DAP.

“Namun pada 2004 disebabkan tidak ada gelombang PAS kalah, begitu juga dengan PRU12 dan hanya pada PRU13 nampak ada sedikit kebangkitan PAS di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, PAS akan bermasalah sekiranya pengundi luar ini tidak balik mengundi dan parti itu hanya perlu bergantung dengan undi tradisi daripada penyokong semata-mata.

“Sebab itu saya kata pengundi luar ini jadi penentu kerana kekuatan Umno di Terengganu sebenarnya besar juga tidak seperti di Kelantan,” katanya.