- Iklan -
Berita

Puspal diminta senarai tambah baik panduan konsert artis luar negara minggu depan, kata menteri

Fahmi Fadzil berkata senarai berkenaan diperlukan sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan perbuatan biadab yang berlaku di Sepang semalam berulang.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kumpulan rock Britain, The 1975 ketika membuat persembahan. Gambar: Bernama
Kumpulan rock Britain, The 1975 ketika membuat persembahan. Gambar: Bernama

Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) diminta memberikan senarai penambahbaikan peraturan kebenaran persembahan artis luar negara kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) minggu depan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata senarai berkenaan diperlukan sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan perbuatan biadab yang berlaku pada konsert kumpulan The 1975 ketika Festival Good Vibes 2023 di Sepang, semalam, berulang.

“Saya telah arahkan supaya pihak Puspal beri senarai penambahbaikan tatacara kepada saya minggu depan serta proses untuk memastikan  perkara seperti ini tidak berulang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Komuniti Madani di Kuala Lumpur hari ini. 

Katanya beliau telah berjumpa pihak Puspal pada Jun lepas dan diberitahu bahawa mereka tidak menerima penyertaan (kumpulan muzik) The 1975 dalam festival itu. 

“Tetapi pihak penganjur buat rayuan. Dalam surat rayuan itu, mereka sertakan surat aku janji daripada pengurus kumpulan berkenaan yang menyatakan mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk konsert kumpulan itu,” katanya.

Fahmi berkata Jawatankuasa Puspal itu akan  dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Mohamad Fauzi Md Isa bagi memastikan tindakan seperti itu tidak berulang. 

Media melaporkan persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

Beliau didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Sementara itu, mengenai penambahbaikan akta berkaitan isu penipuan “phishing”, Fahmi berkata akta merangkumi keselamatan siber bagi pangkalan data peribadi seperti Akta 709 di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 akan dibawa ke Parlimen untuk dibincangkan berkenaan pindaan sewajarnya. 

“Ada penambahbaikan penting perlu dilakukan memandangkan Akta 709 pada waktu ini sudah agak lapuk. Dan banyak yang telah berubah terutama konsep data itu sendiri yang berubah dengan sangat mendadak.  

“Sebagai contoh, data geolokasi pada waktu ini tidak dikira sebagai data yang berkait dalam Akta 709 dan pada masa yang sama, kita perlu memantapkan lagi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ,” katanya. 

Berkaitan kewujudan kandungan ajaran sesat di media sosial, Fahmi berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan sebarang bahan atau kandungan ajaran sesat agar tindakan pantas dapat diambil. 

“Sering kali platform berkenaan seperti TikTok, sukar untuk kita jejaki video yang sama, dikongsi di akaun lain sebab tag dan ayatnya berbeza tetapi videonya sama. Kita ada berbincang dengan TikTok untuk membantu dari aspek penguatkuasaan dan berbincang kalau boleh memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk bantu kenal pasti kandungan yang sama (jika dikongsi ke platform media sosial lain), jika wujud unsur ajaran sesat atau syiah,” katanya. 

Sebelum ini, tular video dalam media sosial memaparkan sebuah keluarga membuat pengakuan ajaran sesat, selain dua individu membabitkan lelaki dan wanita mendakwa Allah adalah Nabi Muhammad.

Pada majlis itu, sebanyak 72 komuniti Madani membabitkan tujuh parlimen di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah menerima watikah berkenaan. 

Komuniti Madani berperanan untuk menyalurkan informasi terkini dan sahih mengenai dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat secara berterusan selain menjawab dan menangkis sebarang isu fitnah dan berita palsu yang semakin menular. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.