- Iklan -
Berita

Pakar saran semak semula Indeks Harga Pengguna, selepas info grafik J-KOM disindir

Persoalan dibangkitkan mengenai keupayaan indeks harga itu untuk mencerminkan perubahan dalam ekonomi yang bergerak pantas.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki mencari barangan runcit di sebuah pasar raya di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup.
Seorang lelaki mencari barangan runcit di sebuah pasar raya di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup.

Seorang pakar kewangan menggesa kerajaan menyemak semula Indeks Harga Pengguna (IHP) selepas percubaan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) untuk menerangkan kos sara hidup menerima tempias dan menjadi bahan lawak pengguna media sosial.

Pakar Perancangan Kewangan dan Analisis Farid Affandi berkata, IHP sedia ada tidak mencerminkan kos sara hidup sebenar.

"Apa yang J-KOM cuba persembahkan adalah barangan yang berada dalam bakul pengiraan IHP.

“Tetapi kebanyakan item dalam senarai yang diberikan adalah dalam harga kawalan atau diberi subsidi oleh kerajaan," katanya kepada MalaysiaNow.

J-KOM minggu lalu cuba memberi justifikasi berhubung kos sara hidup apabila menyatakan isi rumah dengan gaji minimum RM1,500 masih mampu membeli barang keperluan asas.

Info grafik yang dikeluarkan jabatan kendalian Pengarah J-KOM, Mohd Agus Yusoff itu cuba menafikan kenaikan perbelanjaan dapur daripada RM200 kepada RM500, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Menurut info grafik itu, kos barang dapur hanyalah RM391 untuk isi rumah dengan dua orang anak, dan RM228 untuk individu bujang.

Antara item yang dipaparkan dalam info grafik itu termasuklah ayam, minyak masak, roti gardenia, tong gas, telur dan beras.

Selain itu, terdapat info grafik membandingkan harga barang pada masa kini dengan pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

J-KOM memadamkan hantaran itu selepas menerima kritikan daripada pelbagai pihak.

Farid berkata orang ramai semakin ragu terhadap IHP apabila ia bukan lagi ukuran yang ideal untuk menilai perubahan kos sara hidup.

IHP dikeluarkan oleh Jabatan Statistik di bawah Kementerian Ekonomi.

"Kenaikan gaji tahunan juga dikira berdasarkan IHP yang hanya mengambil kira beberapa kenaikan harga barang keperluan, bahkan gaji minima juga ditentukan oleh IHP.

"IHP boleh dimanipulasikan kerana kebanyakan barang di dalam bakul IHP adalah barangan kawalan dan subsidi."

Menurut Farid, kerajaan perlu menyemak semula IHP dan memastikan ia lebih mencerminkan realiti.

Kos sara hidup secara umumnya menggambarkan perbelanjaan isi rumah ke atas barangan dan perkhidmatan yang diperlukan untuk mengekalkan taraf hidup tertentu.

Ia menjadi isu yang sering membelenggu kerajaan sejak beberapa tahun lalu apabila kenaikan harga barangan berlaku secara konsisten dan tidak selari dengan gaji yang kekal tidak naik.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan kempen anti rasuah pemimpin kerajaan memakan diri apabila harga barang tidak berjaya diturunkan.

Keadaan bertambah buruk apabila nilai ringgit turut merudum yang meningkatkan kos bahan import.

Pada tahun 2021, nilai import makanan Malaysia melepasi paras tertinggi yang pernah direkodkan iaitu sebanyak RM63 bilion setahun.

Kenaikan harga barang turut didorong oleh inflasi yang disebabkan oleh lebihan bekalan wang dalam pasaran.

Ini kerana kerajaan membelanjakan sejumlah wang dalam bentuk bantuan kepada rakyat yang berdepan kesukaran akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Antaranya Bantuan Prihatin Nasional, moratorium pinjaman, selain pengeluaran wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Kuasa membeli juga meningkat kerana kebanyakan rakyat Malaysia berbelanja dengan wang yang mereka tidak miliki, iaitu hutang dalam bentuk kad kredit dan pinjaman peribadi,” kata Farid.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.