- Iklan -
Berita

Selepas Keluar Sekejap, ‘podcast’ jadi trend baru berkempen menjelang PRN 6 negeri

Meskipun ada beberapa ahli politik cuba meniru jejak langkah Khairy Jamaluddin dalam mempopularkan Keluar Sekejap, namun tidak semua mempunyai apa yang diperlukan untuk mengekalkan saluran podcast tersebut.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, pengcara bersama podcast popular ‘Keluar Sekejap’. Gambar: Facebook
Bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, pengcara bersama podcast popular ‘Keluar Sekejap’. Gambar: Facebook

Satu trend terbaru mula dikesan dalam kempen politik di Malaysia apabila lebih ramai ahli-ahli politik melancarkan siri “podcast” masing-masing dalam usaha memulihkan defisit kepercayaan dan sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos ini.

Ia menjadi semakin popular selepas bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan melancarkan siaran podcast “Keluar Sekejap” melalui platform YouTube.

Platform podcast itu muncul tidak lama selepas pemecatan Khairy daripada Umno pada Januari manakala Shahril pula dikenakan tindakan digantung selama enam tahun.

Siaran episod pertama podcast Keluar Sekejap dengan tajuk “Pencapaian 100 Hari Madani”, berjaya meraih lebih 700 tontonan dalam tempoh tiga jam sahaja.

Sehingga 36 episod, saluran podcast tersebut sudah mempunyai hampir 80,000 pengikut dan jutaan tontonan di YouTube. Malah awal bulan ini, sewaktu penampilan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor saluran tersebut telah merekodkan lebih 700,000 tontonan di YouTube dalam tempoh beberapa hari, menjadikannya episod paling popular.

Bercakap kepada MalaysiaNow, seorang penyunting video dengan pengalaman 11 tahun bekerja di balik tabir yang mahu dikenali sebagai Han berkata, podcast asalnya dimaksudkan sebagai audio yang panjang.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, trend podcast dari luar negara khususnya Amerika Syarikat dan Australia membawa satu konsep baru terhadap definisi itu di mana rakaman audio disertakan sekali dengan rakaman video individu atau kumpulan yang bercakap.

Katanya, ini bagi menunjukkan interaksi kepada para pendengar ataupun penonton.

Han pernah menjadi penyunting video kepada beberapa kenalan dan pelanggannya dalam parti-parti politik, “tentera siber”, badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis sejak menuntut di Universiti Lim Kok Wing dalam jurusan multimedia kreatif.

Katanya, ketika itu dia hanya perlu menyunting klip-klip ceramah politik yang diterima melalui e-mel ataupun dalam storan pemacu cakera keras.

“Mereka upah pun sebab bayar murah masa tu belajar lagi. Lepas media sosial makin rancak, saya mula edit video-video pendek dalam empat hingga lima minit untuk Facebook.

“Makin lama, video jadi makin pendek untuk dikongsi pada Instagram. Sekarang paling meletup kat TikTok,” katanya sambil menambah dia melakukan kerja itu sepenuh masa tanpa majikan dan menerima apa sahaja permintaan daripada mana-mana pihak selagi ada kekosongan dan kelapangan masa.

Tak perlu belanja besar

Menurut Han, proses menghasilkan podcast tidak menelan belanja yang begitu besar dan ianya boleh dilakukan berbekalkan mikrofon yang berkualiti dan telefon bimbit yang mempunyai resolusi kamera yang canggih.

“Sekarang ada macam-macam jenis software (perisian) untuk edit video, ramai yang belajar di YouTube dan buat suntingan sendiri.

“Kos lain pula macam sewa penginapan yang cantik untuk dijadikan sebagai studio sewaktu rakaman dijalankan.”

Dua orang lagi ahli politik dari Pakatan Harapan (PH) dari PKR dan DAP dilihat cuba “meniru” jejak yang dimulakan oleh Khairy dan Shahril apabila siaran podcast “Apa Cerita Waibi” juga disiarkan dalam saluran YouTube kira-kira sebulan lalu oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli serta Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.

Bagaimanapun, usaha itu dilihat tidak mendapat sambutan yang menggalakkan jika dibandingkan dengan siri podcast Keluar Sekejap apabila siaran pertama segmen tersebut tidak berjaya mendapat sambutan.

Meskipun 2,000 tontonan reaksi pendengar juga dengan jelas tidak memihak kepada mereka.

Mengulas mengenai hal ini, pakar komunikasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Abd Aziz Aizam berkata tidak semua ahli politik mampu menarik perhatian orang awam.

Buat masa ini, boleh dikatakan hanya podcast yang dijalankan oleh Khairy dan Shahril berjaya menarik perhatian dan menjadi perbualan orang ramai.

Katanya, ini kerana kunci utama duo itu membina kejayaan podcast mereka adalah disebabkan kedua-duanya bukan ahli Parlimen atau wakil rakyat yang menang pilihan raya mahupun memegang mana-mana jawatan besar dalam kerajaan.

“Maka dengan itu menjadi satu kelebihan terhadap pandangan yang dikemukakan di dalam podcast mereka iaitu naratif yang bersifat neutral.

“Mereka turut mengemukakan banyak fakta dan berjaya mengasingkan emosi dalam sesebuah kesimpulan pada setiap sesi podcast mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

Masyarakat makin kritikal

Tambahnya, trend podcast ini juga membolehkan orang ramai memahami bahawa masyarakat hari ini bukan lagi bersifat pasif, sebaliknya bersedia untuk menilai idea-idea kritis daripada wacana yang sihat.

Han bersetuju dengan pensyarah tersebut mengatakan tidak semua orang “mampu” untuk mempunyai podcast sendiri.

Jika mereka mempunyai wang yang mencukupi tidak cukup untuk melancarkan podcast, sebaliknya idea dan hujah yang boleh meneruskan kelangsungan satu-satu episod tersebut.

Menurut Han, kelazimannya, durasi podcast paling pendek antara 40 minit dan paling lama sehingga sejam lebih.

Kemudian, dia akan diminta untuk membahagikan video panjang itu kepada video-video pendek berdurasi satu minit sebelum dimuat naik ke media sosial.

“Bayangkan satu jam itu hanya bersembang kosong, apa yang boleh dibahagikan? Tetapi kalau video itu sarat dengan idea, panjangnya lima minit pun dah boleh dapat dua hingga tiga video pendek.

“Apabila kita tanya, topik mana boleh diambil untuk video pendek, mereka salahkan kita tak pandai buat kerja sedangkan mereka yang tak pandai bercakap.”