- Iklan -
Berita

Ahmad Maslan ‘ajar’ bagaimana simpan KWSP RM240,000 menjelang umur 55 tahun

Timbalan menteri kewangan itu memberikan dua penyelesaian untuk rakyat Malaysia yang mahu mempunyai wang yang mencukupi ketika bersara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan. Gambar: Bernama

Rakyat Malaysia memerlukan simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 ketika mencapai umur 55 tahun, apabila mereka dibenarkan mengeluarkan wang caruman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Timbalan Menteri Kewangan I Ahmad Maslan.

Ahmad berkata anggaran simpanan caruman berkenaan, membolehkan seseorang untuk menampung kehidupan bagi tempoh 20 tahun selepas bersara atau sehingga umur 75 tahun, dengan kadar perbelanjaan RM1,000 sebulan.

Pertama, katanya seseorang itu boleh secara sukarela menambah potongan gaji bulanan yang diberikan kepada simpanan KWSP mereka.  

"Kita tanya diri kita sendiri, berapa simpanan kita sekarang, berapa umur kita sekarang? Boleh tak mencapai RM240,000?  Kalau kita tak boleh, kita tambahkan caruman secara sukarela,” katanya dipetik Berita Harian ketika mengadakan lawatan ke pejabat KWSP di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Satu lagi penyelesaian, katanya, adalah bekerja di syarikat yang menawarkan gaji lebih tinggi, lapor akhbar itu. 

Awal tahun ini, Menteri Kewangan Anwar Ibrahim berkata sehingga Disember tahun lepas, hanya 19% pencarum KWSP mempunyai simpanan yang membolehkan mereka mengeluarkan RM240,000 apabila mencapai umur 55 tahun.

“Ini secara langsung menunjukkan bahawa 81% ahli berumur 55 tahun dan ke bawah berada dalam situasi yang serius di mana jumlah simpanan mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan,” kata Anwar di Parlimen pada April lalu.

Kerajaan menolak sebarang pengeluaran daripada KWSP, berikutan gesaan untuk satu lagi pusingan pengeluaran sedemikian bagi membantu mereka yang berdepan dengan masalah kewangan.

Sebaliknya, Anwar mengumumkan rancangan yang membolehkan pencarum memohon pinjaman daripada bank dengan menjadikan simpanan KWSP mereka sebagai cagaran.

Bagaimanapun langkah tersebut dikritik oleh pakar ekonomi.