Parti Amanah Negara (Amanah) mengesahkan setakat ini akan bertanding di 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata dua kerusi lagi iaitu DUN Tepuh dan DUN Bandar di Terengganu masih dalam rundingan dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat.
“Amanah akan bertanding di dua kerusi di Pulau Pinang, Kelantan (tujuh), Negeri Sembilan (dua), Kedah (sembilan), Selangor (sembilan) dan Terengganu (dua).
“Pada PRN nanti, Amanah akan mengekalkan sembilan penyandang kerusi DUN dan mempertaruhkan 15 muka baharu,” katan pada sidang media pengumuman senarai calon Amanah bagi PRN tersebut, di Kota Bharu hari ini. Hadir sama Naib Presiden Amanah Adly Zahari.
Antara yang dikekalkan bertanding ialah penyandang kerusi Permatang Pasir, Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan ditetapkan pada 12 Ogos dengan hari penamaan calon pada 29 Julai.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata Amanah juga akan menampilkan tujuh calon wanita pada pilihan raya, kali ini.
Parti itu turut menampilkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Mahfuz Omar untuk bertanding di DUN Alor Mengkudu.
Dalam pada itu, Mohamad berkata parti itu mahu meletakkan calonnya di DUN Kota Lama, Kelantan yang menjadi perebutan antara Amanah, PKR dan DAP.
“DUN Kota Lama akan ditandingi oleh Ketua Wanita Amanah Kelantan Hafidzah Mustakim,” katanya.