- Iklan -
Berita

Dasar Perumahan Negara tidak tangani jurang kekayaan antara kaum, kata pengkaji

Nizam Mahshar berkata demografi negara yang pelbagai, yang terdiri daripada masyarakat berbilang etnik dan kelas pendapatan, tidak diambil kira dalam rancangan pembangunan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Penduduk memasuki lif di sebuah projek perumahan rakyat di ibu kota Kuala Lumpur.
Penduduk memasuki lif di sebuah projek perumahan rakyat di ibu kota Kuala Lumpur.

Jurang kekayaan antara kelas dan kaum dijangka semakin melebar apabila isu-isu perumahan tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan, menurut seorang penyelidik ketika harga rumah tidak menunjukkan tanda-tanda menurun.

Nizam Mahshar dari Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa dan Penyelidikan dalam Kelestarian (Idris) berkata, rancangan pembangunan negara tidak mengendahkan persoalan demografi negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, selain kelas pendapatan yang berbeza.

"Ia berkait juga dengan dana politik, yang mana ahli politik tidak menjaga kepentingan rakyat kerana dipengaruhi lobi untuk dana politik daripada pemaju,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Sebab itu kita tidak terkejut ada parti-parti yang rapat dengan pemaju pembinaan malahan dikiaskan sebagai Parti Pemaju. Mesti ada asas pada pandangan masyarakat sebegini." 

Katanya, situasi itu menyebabkan harga rumah yang tidak terkawal di kawasan-kawasan bandar, sehingga menyukarkan golongan berpendapatan rendah yang majoritinya daripada kaum Melayu untuk membelinya.

Ia mengakibatkan demografi yang tidak seimbang yang mana kaum bukan Melayu akan tertumpu kepada bandar, manakala orang Melayu terpaksa mencari hartanah di luar bandar dan pekan-pekan di kawasan pinggiran.

Ini seterusnya menyebabkan polarisasi politik perkauman semakin ketara terutama di kawasan bandar sebagai pusat-pusat ekonomi.

Katanya, keadaan itu boleh dilihat di Pulau Pinang apabila orang Melayu semakin ramai berpindah ke Sebarang Perai, atau ke Sungai Petani dan Kulim oleh kerana tekanan harga hartanah. 

Ia menjadikan demografi di bahagian pulau tidak seimbang. 

Baru-baru ini, media melaporkan harga rumah dijangka meningkat sebanyak 25% untuk hartanah yang bernilai RM500,000 ke atas.

Laporan Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat 2.8% tahun lepas.

Rumah teres, rumah bertingkat tinggi dan rumah berkembar masing-masing mencatatkan kenaikan 3.7%, 3.4% dan 2.9%.

Ini bertentangan dengan kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar Perkapita pada kadar hanya separuh daripada kenaikan harga rumah.

"Kenaikan kos rumah meningkat sekurang-kurang dua kali ganda berbanding ekonomi rakyat," kata Nizam.

Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming baru-baru ini mengumumkan Dasar Perumahan Negara (DPN) sedia ada akan dikaji semula bagi memenuhi sasaran penyediaan 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025.

DPN yang baru, menurut kenyataan kementerian, akan mengambil kira keperluan rakyat yang berbeza mengikut acuan budaya, adat resam, agama dan senario rakyat berbilang kaum di negara ini.

Justeru, Nizam berkata arah tuju politik DPN perlu diperhatikan dengan begitu teliti dalam menyelesaikan krisis perumahan dan tidak meningkatkan jurang antara rakyat.

Nizam yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Institut Masa Depan Malaysia berkata, ketiadaan pengawal selia menyebabkan pemaju gemar menjual rumah yang terlalu mahal dengan sasarannya kepada pembeli luar.

"Harga rumah semakin meningkat dan pemaju tidak berminat menyelesaikan masalah rakyat dengan membangunkan rumah mampu milik. Ini mengakibatkan kadar kediaman menurun.

"Berlaku 'housing glut' yang mana ia membuka ruang kepada unsur spekulatif," katanya.

Walaupun negara mempunyai sejumlah syarikat berkaitan kerajaan yang turut mempunyai projek perumahan, Nizam berkata mereka terlalu mengikut trend pemaju lain dan mengejar keuntungan sehingga melupakan tanggungjawab kepada masyarakat, sekali gus menjadikan mereka sama seperti pemaju swasta yang lain.

"Mereka boleh diarahkan supaya membina lebih banyak perumahan mampu milik, tetapi ia perlukan tekad politik."

Nizam berkata tiga komponen yang perlu dilihat dalam isu ini ialah dasar perumahan, pihak berkuasa tempatan dan jenis pemilikan supaya keseimbangan demografi penduduk mengikut kelas, kaum dan jurang bandar, pinggir bandar & desa dapat ditangani.

Hak pemilikan menjadi isu yang diperjuangkan oleh parti politik seperti MCA dan DAP dalam usaha mendapatkan sokongan masyarakat Cina.

Teresa Kok sebagai contoh, memperjuangkan status pegangan kekal kepada penduduk dan pemilik hartanah di Sri Petaling. 

MCA bahagian Segambut juga sebelum ini dilaporkan berikrar untuk membantu penduduk Taman Bukit Maluri, Kepong menukar status tanah mereka kepada pegangan bebas.

Menurut Nizam, pemilikan kekal akan meningkatkan harga hartanah sekali gus mengakibatkan harga berada di luar kemampuan, khususnya untuk majoriti masyarakat yang kurang berkemampuan terutamanya orang Melayu.