Perikatan Nasional (PN) yakin Selangor akan dirampas gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini selepas melihat "gelombang" luar biasa dalam kalangan pengundi.
Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata beliau melihat sendiri sokongan dan sambutan yang meriah ketika hadir majlis pelancaran jentera PRN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dan Sungai Burong di bawah Parlimen Tanjung Karang, semalam.
Tambahnya, para hadirin yang datang bukan sahaja terdiri daripada orang Melayu bahkan juga masyarakat India dan Cina yang disifatkannya kini sudah ramai bersama dengan PN.
"Sesiapa sahaja dapat saksikan gelombang ini di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
"Kini gelombang sama diperlihatkan di Selangor dan sedang marak di Negeri Sembilan serta Pulau Pinang.
“Insya-Allah, Selangor Utara akan menjadi kubu Perikatan Nasional dan merupakan pemangkin yang akan memastikan Selangor ditawan dalam PRN pada 12 Ogos ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Pada Rabu, kepimpinan utama PN dijadualkan mengumumkan calon-calon PRN bagi DUN Selangor di Taman Medan Baru, Petaling Jaya.
Sebelum ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan bekas ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jamil Salleh sebagai calon bagi kerusi DUN Dengkil.
Turut diumumkan Muhyiddin, calon bagi DUN Sungai Pelek, Suhaimi Mohd Ghazali yang juga ketua Bersatu Bahagian Sepang.