- Iklan -
Berita

PM umum beberapa imbuhan tetap penjawat awam seminggu dua lagi

Anwar Ibrahim berkata imbuhan yang munasabah dan adil akan diberikan kepada penjawat awam di negara ini kerana sudah lama tiada kenaikan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (dua dari kiri) di Kubang Kerian, Kota Bharu, 23 Julai. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (dua dari kiri) di Kubang Kerian, Kota Bharu, 23 Julai. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengumumkan beberapa imbuhan tetap kepada penjawat awam dalam tempoh seminggu dua lagi.

Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat pengurusan pertama pelarasan skim gaji itu minggu depan.

"Saya fikir pendekatan lama skim pelarasan gaji perlu dirombak, tunggu pengumuman dan sedikit penyesuaian dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cakna Madani Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di Kota Bharu hari ini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Pada 13 Julai lepas, Perdana Menteri berkata skim gaji penjawat awam akan disaran dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaan ekonomi negara dan cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat dengan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamad sebelum Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata ganjaran munasabah dan adil akan diberikan kepada penjawat awam di negara ini berikutan tiada kenaikan dalam tempoh yang agak lama.

"Pelarasan ini dilakukan untuk meningkatkan skim gaji guru dan penjawat awam yang lain sekali gus bagi mengurangkan jurang perbezaan skim gaji.

"Ini bukan sebab nak pilihan raya negeri tetapi saya mahu dikenali sebagai Anwar yang prihatin," katanya.

Perdana menteri turut menegaskan bahawa beliau akan terus memerangi rasuah dan menghentikan amalan mencuri harta rakyat.

"Saya akan terus cakap mengenai tata kelola dan rasuah, saya akan perang habis-habisan. Insya-Allah, saya akan lakukannya sekiranya Allah beri kekuatan kepada saya untuk selamatkan negara," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.