- Iklan -
Berita

PN dapat sokongan MIC, pemimpin India dalam pertembungan sengit di Selangor

Gabungan itu telah melancarkan Sekretariat Kelab Penyokong Perikatan Nasional (India), yang akan diketuai oleh ahli Majlis Tertinggi MIC KR Parthiban.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohamed Azmin Ali berucap di Sekretariat Kelab Penyokong Perikatan Nasional (India) pada 23 Julai 2022. Gambar: Facebook
Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohamed Azmin Ali berucap di Sekretariat Kelab Penyokong Perikatan Nasional (India) pada 23 Julai 2022. Gambar: Facebook

Perikatan Nasional (PN) melancarkan kempen untuk meningkatkan sokongan daripada pengundi bukan Melayu terutamanya dalam kalangan masyarakat India selepas mendapati sambutan menggalakkan terhadap ceramahnya serta beberapa tinjauan prapilihan raya yang meramalkan kemenangan gabungan itu di Selangor.

Ia merupakan satu langkah yang mungkin memberi sokongan kritikal daripada kaum minoriti memihak kepada gabungan itu.

Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali pada Ahad melancarkan Sekretariat Kelab Penyokong PN (India) bagi kawasan Selangor Utara, yang akan diketuai oleh Ahli Majlis Tertinggi MIC KR Parthiban.

Selangor Utara adalah tempat di mana beberapa pertembungan sengit antara Pakatan Harapan (PH)-Umno dan PN, berikutan kejayaan besar mereka di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas.

Difahamkan, sekretariat itu dianggotai oleh aktivis MIC dari Tanjong Karang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sungai Besar dan Hulu Selangor.

"PN memberi jaminan bahawa anak-anak orang India akan mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan menikmati pengagihan kek ekonomi dengan adil dan saksama."

Orang India membentuk kira-kira 13% daripada penduduk Selangor, dan sebelum ini memainkan peranan penting dalam menjatuhkan cengkaman Barisan Nasional (BN) selama berdekad di negeri itu. 

PH yang dahulunya dikenali sebagai Pakatan Rakyat yang pada ketika itu turut dianggotai PAS memerintah Selangor sejak 2008 selepas pakatan itu menumbangkan BN dalam pilihan raya pada tahun tersebut. 

Kali ini, ia akan berganding bahu dengan Umno, mencerminkan perkongsian baru gabungan itu di peringkat persekutuan. 

Semalam, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin bercakap mengenai peningkatan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap gabungan itu.

"Gelombang ini boleh dilihat di Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Kini, gelombang yang sama terbukti di Selangor dan semakin rancak di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang," kata Hamzah. 

Selangor adalah negeri terkaya di Malaysia, dan oleh kerana itu, ia dilihat sebagai pusat pilihan raya yang akan menyaksikan pengundi di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu keluar mengundi pada 12 Ogos untuk memilih kerajaan negeri masing-masing. 

Dengan 56 kerusi dipertandingkan, sebuah parti perlu memenangi sekurang-kurangnya 29 untuk membentuk kerajaan negeri.

Kedua-dua gabungan, PH dan PN, masing-masing mendakwa mereka boleh meraih majoriti yang diperlukan, dengan kumpulan pemikir PKR meramalkan parti itu mampu menyapu bersih hampir semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Namun penganalisis dan pengulas memberi amaran mengenai kebolehpindahan undi yang rendah antara PH dan Umno, dilihat sebagai kunci untuk memastikan kejayaan kedua-dua rakan kongsi itu.

Awal bulan ini, tinjauan yang diterbitkan oleh ISEAS Perspective, jurnal dari Institut Kajian Asia Tenggara yang berpangkalan di Singapura, mendapati 39% pengundi Melayu yang mengundi BN dalam pilihan raya tahun lepas berkata mereka akan mengundi PN pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini, manakala hanya 15% daripada mereka berkata mereka akan mengundi PH.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.