- Iklan -
Berita

Saya tak kisah digelar 'anti-semitik', Mahathir bidas akhbar pro-Israel di UK

Bekas perdana menteri itu mempertahankan pendiriannya menentang Israel selepas akhbar yang berpangkalan di London mengkritik lawatannya ke UK baru-baru ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad mempertahankan penentangannya terhadap Israel selepas sebuah akhbar pro-Zionis yang berpangkalan di United Kingdom (UK) menyiarkan laporan mengkritik lawatan bekas perdana menteri itu ke Britain baru-baru ini di mana beliau berucap pada beberapa acara yang dianjurkan oleh umat Islam tempatan serta badan pemikir politik.

Sebelum laporan tersebut diterbitkan pada 13 Julai, The Jewish Chronicle, yang dilihat sebagai lidah kepada kerajaan Israel, menghubungi Mahathir untuk memberikan respons terhadap dakwaan beliau "anti-Semitik" berhubung ulasan bekas perdana menteri itu sebelum ini mengenai Zionisme dan penubuhan negara Israel. 

Mahathir dalam jawapannya mengecam akhbar itu, mengatakan ia sengaja menghantar e-mel kepadanya pada saat-saat akhir kerana ia "sebenarnya tidak mahu saya memberikan jawapan".

"Saya akan memberikan jawapan saya kepada The Jewish Chronicle," tulisnya.

Dalam jawapan enam muka surat yang disiarkan di Facebooknya, Mahathir menyelar penyokong Israel yang berhujah tanah Palestin adalah milik orang Yahudi. 

"Tuntutan anda ke atas tanah Palestin adalah kerana seribu atau lebih beberapa tahun dahulu anda tinggal di sana. Tuntutan itu bukanlah asas untuk orang mengambil alih tanah yang kemudiannya didiami oleh orang lain," katanya sambil memberikan beberapa contoh sejarah di mana tanah yang diambil alih oleh warga asing, termasuk apa yang berlaku di negara ini.

“Orang Melayu kehilangan empat negeri Melayu kepada Thailand, satu kepada Indonesia. Singapura, sebahagian daripada tanah Melayu kini pada dasarnya adalah sebuah negeri kaum Cina yang merdeka.

"Bekas penduduk dan rakyat negeri-negeri ini, iaitu orang Melayu, tidak menuntut hak untuk menubuhkan negeri milik mereka semata-mata kerana tanah itu pernah menjadi milik mereka," tulis Mahathir. 

Beliau berkata daripada memberikan empati terhadap penderitaan mereka semasa kekejaman Nazi, orang Yahudi kini menindas rakyat Palestin.

"Dengan segala keangkuhan dan kekejaman anda, bagaimana saya boleh terus bersimpati atas penderitaan anda semasa holokus. Ia adalah simpati yang tidak kena dan sia-sia."

Mahathir juga mempertahankan keputusannya pada 1994 untuk mengharamkan Schindler's List, sebuah filem mengenai holokus, dengan mengatakan ia adalah aksi propaganda untuk meraih simpati dunia. 

Beliau juga mencabar naratif bahawa enam juta orang Yahudi terbunuh sewaktu holokus.

"Bagaimana anda dapat menentukan angka yang tepat ini? Ia mungkin lebih; ​​ia mungkin kurang. Jika saya katakan ia adalah empat juta, saya mungkin betul atau saya mungkin salah. Tetapi apa yang penting ialah kekejaman tersebut dilakukan oleh Nazi." 

Beliau berkata dunia sudah berperang untuk menamatkan kekejaman Nazi. 

"Itulah yang dunia korbankan untuk menghalang Nazi daripada menindas orang Yahudi. Sekarang anda tidak lagi ditindas. Anda sepatutnya menghargai itu. Tetapi tidak. Anda hanya bercakap tentang holokus, enam juta kematian kaum anda."

Mahathir berkata beliau tidak kisah jika beliau dilabel "anti-Semitik", mengatakan orang Arab Palestin juga adalah orang Semitik. 

"Anda adalah anti-Semitik seperti saya. Anda tidak peduli dengan penderitaan orang Arab Semitik."