- Iklan -
Berita

‘Minta kereta pun dapat’ reaksi pengguna media sosial selepas kerajaan umum pemberian RM100

Ramai yang mengaitkan kredit e-tunai RM100 dengan Pilihan Raya Negeri akan datang manakala yang lain mempersoalkan sejauh mana jumlah itu akan diambil memandangkan kos sara hidup semasa.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada majlis pelancaran 'Ekonomi Madani: Memperkas Rakyat' di mana beliau mengumumkan RM1 bilion dalam bentuk kredit e-tunai di Kuala Lumpur, 27 Julai. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada majlis pelancaran 'Ekonomi Madani: Memperkas Rakyat' di mana beliau mengumumkan RM1 bilion dalam bentuk kredit e-tunai di Kuala Lumpur, 27 Julai. Gambar: Bernama

Pelbagai reaksi timbul di media sosial susulan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan RM100 setiap seorang kepada kira-kira 10 juta rakyat dewasa Malaysia, untuk dikreditkan dalam e-dompet mereka.

Mereka saling memberikan pandangan dan ulasan berhubung kenyataan itu dengan rata-ratanya menyebut pemberian itu sebagai "gula-gula" menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini. 

Mereka menulis komen secara terbuka menyatakan di musim pilihan raya dan kempen, pemimpin politik terutamanya pihak kerajaan akan menjadi lebih pemurah daripada waktu biasa. 

"Masa-masa macam ni, minta kereta pun PM boleh bagi," tulis Nantha pada ruangan komen berita NST Online di Facebook.

Sementara itu, sebahagian besar yang lain pula mempertikai jumlah RM100 yang bakal dikreditkan dengan menyelar nilai itu tidak boleh menampung kos sara hidup yang tinggi masa kini. 

Pengguna Facebook, Micheal Ham mempersoalkan apa yang boleh dilakukan dengan nilai tersebut sedangkan mata wang ringgit sekarang berada dalam tahap yang sangat merosot. 

Muhd Aizal pula menulis komen mempersendakan nilai itu mengatakan ianya sangat banyak dan membantunya untuk memenuhkan dua troli di pasar raya. 

"Apa boleh buat dengan RM100, rasanya dalam beberapa minit dah habis. Mungkin?," tulis Sanush Jeyaratnam. 

Ketika hadir pada pelancaran "Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat" di Suruhanjaya Sekuriti hari ini, Anwar berkata penerima adalah mereka yang berpendapatan tahunan RM100,000 dan ke bawah, terdiri daripada mereka dalam kategori B40 dan M40.

Bagaimanapun, pengguna media sosial membidas fakta itu mengatakan hampir semua rakyat Malaysia dilihat akan menerima manfaat tersebut kerana majoritinya tidak mempunyai pendapatan tahunan melebihi 100,000. 

"Semua rakyat Malaysia akan dapat nampaknya," tulis Sukashiny Sandran. 

Pada perkembangan sama, terdapat juga pihak yang mengkritik pemberian itu dengan menegaskan peruntukan mencecah RM1 bilion itu tidak perlu dilaksanakan.

Sebaliknya, Anwar dan anggota Kabinet sepatutnya memikirkan idea-idea lain yang lebih berkualiti untuk menaik taraf kualiti kehidupan rakyat. 

"Hutang negara sudah mendekati kepada jumlah RM1.5 trilion kerana kerajaan membelanjakan terlalu banyak subsidi tahun ini. 

"Sekarang, tambahan RM1 bilion lagi untuk beri wang RM100?" tulis Zawawi Mohamed.

Perkembangan terkini mengenai pemberian wang secara e-tunai juga menyebabkan ramai pihak membidas Anwar sebagai memberikan rasuah secara "berhemah" kepada para pengundi. 

"Kalau begini, lebih baik setiap bulan diadakan pilihan raya," tulis Zahar Sarbini. 

Terdahulu, Anwar memberitahu pengumuman hari ini adalah selepas mengambil kira kejayaan program e-tunai dalam memperkasa amalan penggunaan tanpa tunai dalam kalangan rakyat di Malaysia.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.