DAP meminta semua ahlinya supaya terus menyokong calon-calon yang telah dipilih parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan bagi memastikan kemenangan parti berkenaan di Pulau Pinang.
Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri Chow Kon Yeow turut meminta semua ahli dan cawangan untuk memberi fokus kepada gerak kerja kempen bagi mencapai kemenangan supaya Kerajaan Perpaduan terus mentadbir negeri itu.
"Parti telah putuskan senarai calon yang dimuktamadkan dan diumumkan semalam, bagi diri saya, saya ucapkan penghargaan kerana dipilih sebagai calon dan juga untuk memimpin pasukan ini serta memimpin kerajaan negeri sekiranya mencapai kemenangan.
"Saya seru semua keahlian parti bersama cawangan DAP untuk bersama-sama menyokong calon yang dinamakan dan seterusnya kita kekal fokus kepada gerak kerja kempen dengan bekerja lebih keras demi peroleh kemenangan berterusan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Permatang Tinggi di Nibong Tebal semalam.
Kelmarin, DAP mengumumkan 19 calon termasuk tujuh muka baharu yang akan bertanding pada PRN Pulau Pinang pada 12 Ogos ini, dengan Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy tidak tersenarai.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang membuat pengumuman itu memaklumkan Chow dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng akan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota dan Air Putih.
Mengulas lanjut, Chow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata dalam setiap pilihan raya memang akan berlaku perubahan terutama dari segi pemilihan calon dan itu adalah perkara biasa serta dinamik bagi setiap pilihan raya.
"Dalam setiap pilihan raya memang berlaku perubahan, bayangkan lima tahun lagi, nama saya mesti tiada (dalam senarai), orang lama berikan laluan dan orang muda atau baharu diberikan kesempatan untuk bertanding," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, penyandang kerusi DUN Bagan Dalam yang digugurkan, Satees Muniandy menafikan dakwaan bahawa beliau akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan DAP tidak mencalonkannya semula pada PRN ini.
Bercakap kepada pemberita di Butterworth, Satees berkata walaupun belum membuat sebarang keputusan mengenai perjalanan politik seterusnya, beliau tidak akan bekerjasama dengan PN memandangkan ideologi politik yang berbeza.