- Iklan -
Berita

Kerajaan batal ambil tindakan terhadap Meta berhubung kandungan memudaratkan

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Meta komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia, termasuk pengawal selia dan polis, untuk menangani hantaran sedemikian di platformnya.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama

Kerajaan mungkin tidak meneruskan rancangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat induk Facebook, Meta Platforms berikutan penglibatan "positif" dengan firma itu dalam menangani kandungan berbahaya di platform media sosial, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam satu temu bual hari ini. 

Bulan lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata ia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Meta kerana gagal bertindak terhadap kandungan "tidak diingini" yang berkaitan dengan kaum, raja, agama, fitnah, penyamaran, perjudian dalam talian dan iklan penipuan. 

Fahmi berkata Meta telah memberikan komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia, termasuk pengawal selia dan polis, untuk menangani hantaran sedemikian di platformnya. 

"Buat masa ini, saya tidak fikir SKMM perlu memulakan sebarang tindakan undang-undang. Saya rasa tahap kerjasama ini sangat positif," katanya sambil menambah bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan langkah seperti denda terhadap platform media sosial jika ia gagal menangani kandungan berbahaya.

Facebook ialah platform media sosial terbesar Malaysia, dengan anggaran 60% daripada 33 juta penduduk negara ini mempunyai akaun berdaftar. 

Fahmi menepis kebimbangan yang dibangkitkan mengenai peningkatan ke atas penelitian kerajaan terhadap kandungan dalam talian, dan menafikan mengeluarkan arahan untuk menyekat beberapa laman berita dan akaun media sosial berkaitan pembangkang dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Sekatan itu, katanya, berkemungkinan dibuat sebagai tindak balas kepada aduan yang dibuat oleh pengguna kerana melanggar garis panduan media sosial. 

Gangguan itu berlaku ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya negeri bulan depan yang akan menyaksikan pertembungan antara pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan pakatan Melayu-Islam.

Fahmi berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat kebebasan bersuara, tetapi mahu mengehadkan kandungan menyentuh kaum, agama, dan raja. 

"Mereka yang melaungkan, mengatakan bahawa kita adalah diktator kuku besi, saya fikir mereka agak dramatik," katanya. 

Perkauman dan agama adalah isu sensitif di Malaysia, yang mempunyai majoriti etnik Melayu Islam di samping minoriti Cina dan India yang ketara. 

Malaysia juga mempunyai undang-undang yang melarang penghinaan terhadap sultan-sultannya, yang memainkan sebahagian besar peranan dalam adat istiadat. 

Seorang tokoh pembangkang didakwa bulan ini atas tuduhan menghasut kerana didakwa menghina Sultan Selangor.

Dalam pada itu, Fahmi berkata firma telekomunikasi utama Malaysia akan membentuk rangkaian 5G kedua negara, sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk menamatkan monopoli yang dipegang oleh agensi 5G milik kerajaan, Digital Nasional Berhad (DNB). 

Firma itu, yang telah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam DNB dan menggunakan rangkaiannya, akan berpecah untuk membentuk entiti 5G kedua apabila liputan mencapai 80% daripada kawasan berpenduduk, kata Fahmi.