- Iklan -
Berita

PN tawar pemulihan ekonomi, inflasi segera jika menang PRN, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu juga akan berusaha membantu meringankan bebanan rakyat dalam kadar segera sejurus selepas kerajaan negeri dibentuk.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin hadir ke pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gombak, 29 Julai.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin hadir ke pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gombak, 29 Julai.

Perikatan Nasional (PN) menjanjikan keutamaan dalam menyelesaikan kos sara hidup, inflasi dan kenaikan harga barang sebaik sahaja gabungan itu berjaya tubuh kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu juga akan berusaha membantu ringankan bebanan rakyat disebabkan konflik-konflik tersebut dalam kadar segera sejurus selepas kerajaan negeri dibentuk. 

Selain itu, katanya, PN juga meneliti isu-isu lain yang dihadapi rakyat contohnya isu berkaitan pekerjaan dan pendapatan serta masalah-masalah lain yang berbangkit sehingga mengganggu urusan harian rakyat. 

"Secara umumnya adalah soal pemulihan ekonomi dipercepatkan supaya peluang-peluang kerja lebih banyak dan kediaman-kediaman dibina untuk orang yang tak ada rumah dan sebagainya," katanya kepada pemberita ketika hadir ke pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gombak, hari ini. 

Mengulas lanjut, Muhyiddin memaklumkan tawaran-tawaran yang disebut itu juga terkandung di dalam manifesto PN bagi menghadapi PRN di enam negeri. 

Katanya, pelancaran manifesto itu dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat. 

Antara lain, katanya, terdapat juga beberapa isu utama yang lain akan difokuskan dalam manifesto berkenaan. 

Ini termasuklah soal kesihatan rakyat, pendidikan, iklim, alam sekitar dan lain-lain turut ditekankan dalam kandungan manifesto itu. 

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, pihaknya yakin dan percaya dengan pengalaman mereka pernah mentadbir negara dan negeri menjadikan PN ramai ahli-ahli korporat dan profesional sebagai calon untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat.