Seorang ahli Parlimen PKR hari ini menyelar pengumuman Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan peruntukan geran tambahan kepada persatuan belia di Terengganu dengan syarat supaya mengundi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, rasuah bukan semata-mata isu perundangan tetapi juga berkaitan dengan persepsi.
Ini kerana, katanya, rasuah sangat sinonim dan berkait rapat dengan soal etika seseorang.
Bagi persepsi pula, kata Hassan, pilihan raya yang dilakukan tanpa rasuah bermakna pilihan raya yang adil dan bersih.
"Sebagai ahli Parlimen, saya tak setuju pengumuman geran tambahan oleh TPM Zahid Hamidi di Terengganu ketika kempen pilihanraya," tulisnya di laman sosial Twitter hari ini.
Sebelum ini, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberi sogokan dalam satu majlis pada Jumaat dengan mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), RM250,000 untuk Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 untuk pasukan bermotosikal di negeri berkenaan.
Bahkan, beliau turut berkata peruntukan itu akan ditambah oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim jika parti kerajaan menang di negeri tersebut.
Kenyataan itu kemudiannya mengundang kritikan dari pelbagai pihak termasuk pemimpin PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan pengumuman itu jelas merupakan satu bentuk rasuah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Bagaimanapun, Anwar mempertahankan pengumuman tersebut mengatakan ianya tiada kaitan dengan PRN di enam negeri.
Semalam, Anwar, yang juga pengerusi PH berkata pengumuman itu dibuat sebelum hari penamaan calon yang berlangsung pada Sabtu, 29 Julai.