- Iklan -
Berita

Bersatu akui wujud pertikaian terhadap pencalonan presiden Gerakan di Bayan Lepas

Bagaimanapun, timbalan presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata keadaan itu telah 'tenang' dan menyatakan keyakinan untuk mendapatkan sokongan Melayu di kerusi itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Dominic Lau melambai selepas mengekalkan jawatan presiden Gerakan pada pemilihan parti di Kuala Lumpur, 15 Julai. Gambar: Bernama
Dominic Lau melambai selepas mengekalkan jawatan presiden Gerakan pada pemilihan parti di Kuala Lumpur, 15 Julai. Gambar: Bernama

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengaku wujud pertikaian mengenai pencalonan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Dominic Lau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang kali ini pada awalnya tetapi keadaan itu dikatakan telah semakin reda.

Timbalan Presidennya Ahmad Faizal Azumu berkata bagaimanapun beliau percaya perkara itu tidak memberi kesan negatif kepada PN dan kebanyakan pengundi Melayu di DUN tersebut akan tetap memberi undi kepada Dominic.

“Ramai yang merasakan bahawa kerusi itu lebih sesuai diwakili oleh calon di kalangan orang Melayu, tetapi itulah keindahan yang ada pada PN di mana kita meletakkan calon bukan Melayu di kawasan Melayu.

Jadi jangan bimbang, walaupun memang ada pertikaian pada mulanya namun selepas penamaan calon keadaan telah semakin reda dan kita yakin sokongan orang Melayu kepada parti,” katanya pada sidang media di perkarangan Pejabat Bersatu Negeri Perak di Ipoh, semalam.

Semalam, media melaporkan tiada kelibat penyokong PAS mengiringi pencalonan Lau yang merupakan Presiden Gerakan di pusat penamaan calon di Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar manakala dianggarkan kurang 100 individu di kalangan ahli Gerakan dan Bersatu berkumpul di pusat penamaan calon itu.

Tindakan itu dipercayai dilakukan selepas PN kekal dengan pendirian menamakan Lau dan menolak Setiausaha Pas Pulau Pinang Iszuree Ibrahim sebagai calon di DUN berkenaan yang mempunyai majoriti lebih 60% pengundi Melayu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.