Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sekali lagi memberi amaran kepada ahli politik supaya tidak menggunakan masjid untuk tujuan berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sehari selepas Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil dirakamkan berucap di dalam sebuah masjid di Kuang, Selangor.
"Ahli politik yang didapati menggunakan masjid / surau di Selangor dengan tujuan yang tidak dibenarkan oleh DYMM Sultan Selangor dan Mais dianggap menghina, mengingkari dan melanggar titah DYMM Sultan Selangor dan ketetapan MAIS serta boleh n tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995," kata Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan.
Beliau berkata parti politik dilarang menyampaikan ucapan, syarahan atau khutbah, serta mengedarkan risalah dan poster di kawasan sekitar masjid.
Ini adalah amaran kedua yang dikeluarkan oleh Jais dalam tempoh hanya beberapa hari, kerana PRN semakin hangat di Selangor, yang akan menyaksikan beberapa pertembungan terbesar antara Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Semalam, gambar Fahmi, yang juga menteri komunikasi dan digital, bercakap kepada sekumpulan kecil jemaah di dalam sebuah masjid di Kuang dimuat naik di laman Facebook yang dikaitkan dengan PAS.
"Calon BN pun turut ada sekali. Apa tindakan Jabatan Agama Islam Selangor - Rasmi mengenai perkara ini. Jangan kerana team diaorang (pasukan mereka) jadi caretaker gov (kerajaan sementara), korang buat diam saja. Buktikan kita telus," demikian menurut kiriman di platform media sosial itu.
Fahmi dalam jawapannya berkata beliau mengunjungi masjid itu untuk menunaikan solat Zohor, sambil menambah ia paling hampir dengan lokasi programnya.
Fahmi juga mendakwa beliau "dijemput" oleh jemaah masjid untuk memberikan komennya mengenai insiden bercium pasangan gay membabitkan kumpulan muzik Britain The 1975.
"Alang-alang di situ, saya dijemput oleh kariah Masjid untuk ulas sedikit isu Kumpulan 1975. Tiada langsung sentuh isu lain. Jemaah dalam masjid boleh jadi saksi kejadian untuk sahkan," kata Fahmi.
Beliau juga berkata seorang saksi sebelum ini memuat naik video ucapannya, hanya diturunkan oleh pemilik Facebook "untuk meneruskan persepsi jahat dan fitnah terhadap saya".
Namun penjelasannya mengundang lebih banyak reaksi negatif di laman Facebooknya.
"Jangan ingkar dengan perintah tuanku, Fahmi Fadzil. Patuhi sahaja," kata Mohd Shahrizan.