- Iklan -
Berita

Amirudin bakal ulang nasib Hasni di Johor?

Timbul persoalan mengenai nasib menteri besar Selangor walaupun mendapat jaminan daripada presiden partinya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (kiri) dilihat mempunyai kata putus dalam pemilihan calon di Selangor, di mana Amirudin Shari sedang bergelut mempertahankan penggal kedua sebagai menteri besar.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (kiri) dilihat mempunyai kata putus dalam pemilihan calon di Selangor, di mana Amirudin Shari sedang bergelut mempertahankan penggal kedua sebagai menteri besar.

Amirudin Shari mungkin tidak pasti akan dikekalkan sebagai menteri besar Selangor walaupun dinamakan oleh presidennya Anwar Ibrahim untuk jawatan tertinggi itu jika Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. 

Terdapat juga kebimbangan dalam kem Amirudin, dilihat bertentangan dengan puak lain yang dikawal oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, menteri besar sepenggal itu mungkin mengalami nasib yang sama seperti bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad, yang digantikan oleh Onn Hafiz Ghazi selepas kemenangan BN walaupun menjadi “poster boy”parti semasa PRN Johor pada 2022.

Sumber parti yang mengetahui tentang politik puak dalam PKR di Selangor berkata hanya tujuh calon dari kem Amirudin dipilih untuk bertanding pada pilihan raya 12 Ogos. 

Selebihnya calon PKR, difahamkan, dikatakan bersekutu dengan Rafizi.

Tujuh calon itu termasuk setiausaha politik Amirudin, Juwairiya Zulkifli yang bertanding di Hulu Klang menentang Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Mohamed Azmin Ali, dan calon Selat Kelang Azmizam Zamanhuri. 

PKR meletakkan 20 calon di Selangor, manakala Amanah dan DAP masing-masing meletakkan sembilan dan 15, yang kesemuanya akan bertanding di bawah tiket PH. 

Rakan sekutu mereka BN pula meletakkan 12 calon. 

Tetapi terdapat pertukaran calon pada saat-saat akhir di kerusi Kota Damansara, dengan Ketua Pemuda PKR Selangor Muhammad Izuan Ahmad Kasim diletakkan untuk bertanding di sana dan bukannya Aidi Amin Yazid yang sebelum ini diumumkan. 

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata pertukaran calon pada saat-saat akhir adalah perkara biasa.

Amirudin yang mempertahankan kerusi Sungai Tua dalam pertarungan tiga penjuru dilihat sebagai saki-baki kem Azmin yang masih berada dalam PKR dan tidak keluar parti.

Dengan Azmin dipecat daripada parti, ramai yang melihat Rafizi lebih berkuasa dalam PKR.

"Dari segi hierarki Rafizi jauh lebih senior dari Amirudin, maka tidak hairan kem Rafizi lebih banyak bilangan dan pengaruh berbanding Amirudin," kata Kartini Aboo Talib, penganalisis politik dari UKM.

Sementara penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berkata, walaupun ada persepsi mengatakan mengenai puak-puak tertentu dalam PKR, ia tidak memberi kesan dalam pilihan raya.

Tambah Mazlan, lazimnya ahli-ahli parti akan bersatu bila menjelang pilihan raya.

"Ia akan memberi kesan pada pemilihan parti. Mungkin akan ada orang yang mencabar Rafizi sebagai timbalan presiden PKR," katanya.

Amirudin dilantik menjadi menteri besar Selangor menggantikan Azmin yang ditugaskan menjadi menteri ekonomi selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya pada 2018. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Amirudin diletakkan untuk berdepan dengan Azmin di kerusi Gombak sebagai cabaran oleh Anwar untuk menguji kesetiaannya.

Amirudin berjaya menewaskan Azmin dalam pertembungan tiga penjuru, yang turut menyaksikan jumlah undi yang besar dipecahkan oleh calon BN. 

Sejak itu, Amirudin meningkatkan serangannya terhadap bekas mentornya. 

Pada 19 Julai, Anwar secara terbuka mengesahkan Amirudin untuk jawatan menteri besar. 

Sungguhpun begitu, persoalan masih berlegar mengenai nasib Amirudin, terutamanya melalui pengalaman di Johor selepas PRN Mac 2022.

Hasni digantikan oleh Onn Hafiz selepas kemenangan BN, walaupun mengetuai kempen parti itu dalam pilihan raya tersebut. 

Kartini berkata Amirudin kini berdepan cabaran besar pada PRN akan datang.

"Angin bertiup mula membisikkan salah guna kuasa dan korupsi penyandang menteri besar Selangor itu, dan ada kemungkinan Selangor akan mempunyai menteri besar baru.

“Melainkan jika kemenangan Amirudin mendapat majoriti besar," kata Kartini, sambil menambah kemenangan PH di Selangor adalah sangat penting.

"Jika gagal, maka desakan perubahan dan rombakan Kabinet boleh berlaku."