- Iklan -
Berita

Apa perkembangan selepas bertemu syarikat penyedia p-hailing, penghantar makanan soal PM

Mereka berkata tidak mengapa jika mesyuarat itu belum diadakan tetapi menggesa penyelesaian segera kepada masalah dihadapi mereka dan bukannya bercakap tentang kajian dan ulasan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Penghantar makanan menunggu pesanan di sekitar pusat beli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Penghantar makanan menunggu pesanan di sekitar pusat beli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Beberapa penghantar makanan atau p-hailing tampil bertanya perkembangan terkini pertemuan kerajaan dengan semua syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran barangan atau makanan bagi membincangkan semua perkara berkaitan sektor itu termasuk rungutan kadar bayaran terlalu rendah.

Bercakap kepada MalaysiaNow, sekumpulan penghantar p-hailing yang hadir ke program Temu Anwar Selangor X Belia p-hailing di Shah Alam baru-baru ini meluahkan kebimbangan mereka, mengatakan tidak mampu untuk menunggu dan tertanya-tanya.

"Sudah lebih seminggu, saya pun nak tahu PM jumpa atau tak dengan mereka?" kata Najmi, 22, dari Taman Dato Harun.

Ketika hadir ke program pada 22 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan akan mengaturkan perjumpaan dengan semua syarikat penyedia perkhidmatan dalam tempoh seminggu di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

"Kalau tak ada atau tangguh pun tak apa, tapi boleh beritahu jangan bagi kami tertanya-tanya dan menunggu.

"Benda ni penting sebab libatkan periuk nasi kami," katanya.

Seorang penghantar dari Shah Alam yang mahu dikenali sebagai Taqif pula berkata tarikh pertemuan antara Anwar dan syarikat p-hailing tidak begitu penting.

Tetapi, pengisian dan penyelesaian kepada isu-isu berbangkit lebih mustahak dan perlu diselesaikan segera.

"Kalau jumpa cepat-cepat tapi cakap nanti akan bincang dan buat jawatankuasa nak kaji dan sebagainya, lebih baik tak payah.

"Itu yang buang masa. Nak jumpa bulan depan pun tak apa, tapi biar setel bukan kaji," katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

Katanya, jawapan selamat seperti "akan kaji" atau "akan berbincang" sering digunakan oleh ahli-ahli politik apabila didesak oleh pihak tertentu untuk mendapatkan satu-satu jawapan penting.

MalaysiaNow difahamkan, mereka kini menerima bayaran yang amat rendah sekitar RM4 hingga RM6 bagi satu pesanan selain jumlah pesanan yang kian merosot saban hari.

Atas sebab itu, mereka meminta supaya perbincangan dapat diadakan sekali gus membincangkan kenaikan kadar upah sekurang-kurangnya RM7 bagi setiap satu pesanan yang diterima.

Sehingga kini, kira-kira 11,000 orang penghantar p-hailing berdaftar berada di kawasan Lembah Klang sahaja termasuk mereka yang menjalankan kerja separuh masa.

Sementara itu, usaha MalaysiaNow untuk mendapatkan ulasan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Zulhelmi Mansor berkenaan isu ini tidak berjaya.

Mengulas lanjut, Taqif menegaskan permintaan dia dan rakan-rakan untuk menaikkan kadar bayaran upah amatlah wajar memandangkan kerja-kerja yang dilakukan menanggung risiko yang tinggi.

Ini termasuklah soal keselamatan semasa menjalankan tugas, kesihatan mereka yang boleh terjejas disebabkan faktor cuaca dan masa kerja yang tidak menentu selain kos penyelenggaraan motosikal mencecah ratusan ringgit setiap dua hingga tiga bulan sekali.

"Bila anda jadi rider (penghantar), minyak hitam paling kerap perlu ditukar selain alat-alat ganti lain.

"Itu semuanya memerlukan duit, takkan nak guna duit sendiri sedangkan kita guna motor untuk kerja?" katanya. 

Terdahulu, Zulhelmi menyenaraikan lima tuntutan utama para penghantar p-hailing dalam memastikan kebajikan pekerja sektor itu terbela.

Ini termasuklah kewajipan mencarum dalam Skim Perlindungan Sosial, mewujudkan harga lantai pengambilan dan penghantaran makanan, mengemas kini peta digital dalam aplikasi dan mendesak syarikat penyedia memperluas kebajikan serta perlindungan sosial. 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.