- Iklan -
Berita

Jangan permainkan pengundi Selangor, peguam Bersatu beritahu MB berhubung PJD Link

Seorang peguam Bersatu turut mengkritik kesahihan pengumuman mengejut Amirudin Shari itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita berjalan melepasi kain rentang yang membantah pembinaan PJD Link di sepanjang Jalan Harapan di Petaling Jaya.
Seorang wanita berjalan melepasi kain rentang yang membantah pembinaan PJD Link di sepanjang Jalan Harapan di Petaling Jaya.

Lebih banyak persoalan dibangkitkan terhadap keputusan mengejut Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk membatalkan lebuih raya kontroversi di Lembah Klang, Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal (PJD Link), dengan seorang peguam dari Bersatu turut mengkritik kesahihan pengumuman sedemikian oleh kerajaan sementara di tengah-tengah kempen pilihan raya. 

Sasha Lyna Abdul Latif, yang merupakan timbalan pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu, turut menyelar kenyataan Amirudin yang membayangkan projek itu boleh dihidupkan semula jika terdapat keperluan tertentu. 

"Adakah dia mempermainkan hati dan fikiran pengundi Petaling Jaya? Atau adakah kempen tidak berprinsip ini diamalkan oleh Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN)?” soal Sasha. 

Sasha berkata pengumuman Amirudin itu adalah contoh penyelewengan pilihan raya oleh kerajaan semasa, seperti peruntukan berjumlah lebih RM500,000 yang diumumkan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu baru-baru ini. 

"Kami terkejut dengan kempen tidak berprinsip yang dijalankan oleh PH dan BN dan kami menggesa semua calon untuk mengadakan kempen yang bersih dan fokus kepada apa yang boleh dilakukan oleh calon untuk kerusi DUN sekiranya mereka dipilih oleh rakyat."

"Ini adalah salah guna kuasa dalam pilihan raya yang PH dan Bersih sering laungkan sebelum ini. 

“Kini PH-BN melakukan penyelewengan yang sama." 

Pada 31 Julai, Amirudin mengumumkan bahawa projek PJD-Link tidak akan diteruskan, memetik rasa tidak puas hati dengan laporan penilaian impak.

Tetapi beberapa jam kemudian, beliau berkata projek itu boleh dihidupkan semula, mengatakan terdapat keperluan untuk sistem penyuraian trafik untuk Petaling Jaya. 

"Jadi kita lihat lagi. Kalau mereka boleh puaskan hati rakyat, kita boleh teruskan. Tetapi buat masa ini, tidak boleh, kerana ada syarat yang tidak dipenuhi," katanya.

Kenyataan itu dikecam oleh beberapa kumpulan, yang mencabar Amirudin mengisytiharkan projek itu akan dibatalkan sepenuhnya.

PJD Link dirancang sebagai lebuh raya berkembar empat lorong untuk dimulakan selepas plaza tol NKVE di Lebuhraya Sprint, berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.

Ia dijenamakan semula daripada projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang dibatalkan pada 2015 oleh menteri besar ketika itu Mohamed Azmin Ali.

Lebuh raya itu akan melalui kawasan DUN seperti Bukit Gasing, Bandar Utama, dan Kinrara yang kesemuanya merupakan kubu kuat gabungan PH yang berharap dapat mengekalkan kuasa di negeri itu, kali ini bersama BN.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.