- Iklan -
Berita

Kempen PRN makin sengit, PN dilihat kuasai naratif kos sara hidup

Seorang penyelidik berkata Pakatan Harapan dihantui dengan janji-janjinya pada masa lalu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Penyelidik berkata Perikatan Nasional sudah dapat mengenal pasti isu yang membimbangkan, membolehkan gabungan itu membentuk naratif selaras dengan sentimen orang ramai.
Penyelidik berkata Perikatan Nasional sudah dapat mengenal pasti isu yang membimbangkan, membolehkan gabungan itu membentuk naratif selaras dengan sentimen orang ramai.

Ketika kempen mendekati pengundi di enam negeri semakin sengit menjelang hari pengundian pada 12 Ogos depan, parti kerajaan semakin bergelut dengan cabaran bagi menangkis isu berkaitan peningkatan kos sara hidup.

Perikatan Nasional (PN) sedang giat membangkitkan isu berkaitan ekonomi dalam kempen pilihan rayanya, dengan pengerusinya mempersoalkan langkah Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meringankan beban rakyat. 

Sementara itu, Mohamed Azmin Ali, yang mengetuai PN di Selangor di mana terdapat pertembungan besar di beberapa kerusi panas, membangkitkan mengenai soal ekonomi dan pelaburan, subjek yang rapat dengan beliau yang pernah memegang portfolio menteri hal ehwal ekonomi dan kemudian selaku menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Jawapan dari Pakatan Harapan (PH) kebanyakannya diberikan oleh Rafizi Ramli. 

Namun banyak penjelasan beliau hanya tertumpu kepada beban kewangan yang perlu ditanggung oleh kerajaan, seperti subsidi, perbelanjaan operasi, dan faedah ke atas hutang negara.

“Akhirnya duit itu habis semua, jadi bagaimana kita hendak bantu rakyat untuk naikkan gaji, bina lebih banyak rumah dan wujudkan program basmi kemiskinan yang merubah kehidupan rakyat," kata Rafizi semasa program ceramah Jelajah Madani di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Sabtu lalu. 

"Kalau kita nak turunkan harga minyak, kita kena tengok pada harga (lebih rendah daripada) RM2.05 sen setiap liter itu, berapa jumlah wang yang kerajaan perlu belanjakan (untuk subsidi).

"Harga minyak mentah ketika ini ialah AS$80 bagi setiap tong. Ini bermakna kerajaan perlu bagi subsidi RM1 bagi setiap liter dan kekalkan harga pada RM2.05," katanya.

Seorang penyelidik berkata jawapan daripada kerajaan menunjukkan wujud strategi komunikasi politik yang tidak cekap.

"Cabaran utama kerajaan yang diterajui PH ini bukan semata-mata menangkis kempen PN, tetapi juga untuk merealisasikan sendiri janji dan kempen politik PH sewaktu mereka menjadi pembangkang sejak dahulu,” kata Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi kepada MalaysiaNow.

Beliau berkata kerajaan Anwar kini dihantui oleh janji-janji yang dibuatnya sewaktu berada dalam pembangkang.

"Kegagalan mereka untuk ‘walk the talk’ dari kata-kata mereka sendiri sebelum ini menyebabkan lebih rakyat semakin kritikal dan mempersoalkan integriti dan kompetensi kerajaan diterajui PH buat masa ini," katanya.

Sebaliknya, Anis berkata PN sudah dapat mengenal pasti isu yang membimbangkan, membolehkan ia membentuk naratif selaras dengan sentimen orang ramai.

Beliau berkata walaupun pemimpin kerajaan mungkin menyedari isu ini, kedudukan dalam kuasa menghalang mereka daripada mempromosikan kempen populis seperti yang dilakukan sewaktu menjadi pembangkang.