- Iklan -
Berita

Mengapa umum pembatalan PJD Link menjelang PRN, soal peguam

Rafique Rashid berkata waktu pengumuman Amirudin Shari menimbulkan persoalan mengenai niatnya.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari ketika berucap di Kuala Selangor, 12 Julai. Gambar: Bernama
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari ketika berucap di Kuala Selangor, 12 Julai. Gambar: Bernama

Seorang peguam membangkitkan persoalan-persoalan utama berkaitan impak pembatalan projek pembinaan lebuh raya kontroversi di Lembah Klang, Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. 

Rafique Rashid berkata persoalan paling utama yang memerlukan penjelasan kukuh adalah bagaimana kerajaan “caretaker” negeri Selangor boleh mengumumkan pembinaan atau pembatalan projek-projek mega selepas dibubarkan bagi berdepan pilihan raya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor secara rasmi dibubarkan pada 23 Jun lalu, dua hari sebelum genap tempoh penggalnya selama lima tahun.

Ia bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Dalam keadaan terkini di mana musim pilihan raya semakin hangat, Rafique bertanya adakah Amirudin bertindak secara sengaja untuk mengumumkan pembatalan projek itu sekarang supaya rakyat Selangor akan mengenang budinya di peti undi.

"Sebagai 'caretaker' MB, sepatutnya lebih prihatin mengenai waktu pengumuman.

"Mengapa tidak umum sebelum DUN dibubar? Mengapa tidak sebelum kempen bermula?" katanya kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, Rafique tidak menolak fakta keputusan itu juga merupakan satu berita baik kepada para penduduk setempat yang aktif menggesa kerajaan negeri agar tidak meneruskan pembinaan PJD Link.

Katanya, ini membuktikan suara-suara rakyat mampu untuk mendesak kerajaan mengubah sesuatu keputusan.

Namun, pada masa yang sama katanya, masa pengumuman pembatalan itu tetap menimbulkan persoalan.

Katanya, apakah pula jaminan kerajaan tidak akan meneruskan pembinaan serupa PJD Link itu dengan menggunakan nama projek-projek yang lain pada masa akan datang.

Katanya, adakah langkah Amirudin ini hanya satu gimik politik menjelang hari mengundi PRN di Selangor.

Rafique menegaskan persoalan-persoalan ini perlu dijawab kerana rakyat mesti diberikan jaminan mengenainya.

Semalam, Amirudin dalam satu kenyataan memberitahu pembatalan projek itu memetik rasa tidak puas hati dengan laporan penilaian impak untuk PJD Link.

PJD Link dirancang sebagai lebuh raya berkembar empat lorong untuk dimulakan selepas plaza tol NKVE di Lebuhraya Sprint, berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.

Ia akan dihubungkan dengan Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Pusat Bandaraya Petaling Jaya, Taman Dato Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Technology Park Bukit Jalil, menjejaskan beberapa kawasan termasuk Bukit Gasing, Bandar Utama dan Kinrara. 

Mengulas lanjut, Rafique mencetuskan kebimbangan lain iaitu respons dan impak pembatalan pembinaan lebuh raya itu daripada pihak pemaju.

Katanya, jika dinilai semula kenyataan media Amirudin semalam, kedua-dua pihak kerajaan dan pemaju sudah menandatangani perjanjian konsesi secara bersyarat berkaitan kajian selidik impak persekitaran dan sosial.

"Isu kos serta isu ganti rugi serta isu kerajaan bakal berdepan tuntutan mahkamah daripada pemaju.

"Ini akan melibatkan kos ditanggung rakyat atau pembayar cukai.

"Sudahkah kajian-kajian ini betul-betul diperhalusi?"

Perjanjian konsesi antara pemaju dan kerajaan, ditandatangani pada 5 April 2022, dengan syarat syarikat itu terlebih dahulu melaksanakan Kajian Environmental Impact Assessment (EIA), Kajian Social Impact Assessment (SIA), dan Kajian Traffic Impact Assessment (TIA).

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.