- Iklan -
Berita

Syarikat pengendali p-hailing dipanggil bertemu PM pada 8 Ogos

Kementerian Pengangkutan memaklumkan Anwar Ibrahim telah meminta pertemuan itu untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh penghantar makanan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang penghantar makanan Grab menerima tempahan melalui telefon bimbitnya di kawasan beli-belah di Bukit Bintang di Kuala Lumpur.
Seorang penghantar makanan Grab menerima tempahan melalui telefon bimbitnya di kawasan beli-belah di Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

Syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan menggunakan motosikal atau parcel hailing (p-hailing) akan dipanggil untuk bertemu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dijadualkan pada 8 Oogos ini.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan hari ini memaklumkan perdana menteri telah mengarahkan supaya satu pertemuan diadakan bersama syarikat-syarikat itu susulan perjumpaan beliau dengan rakan-rakan penghantar perkhidmatan p-hailing pada 22 Julai lepas, bagi memahami cabaran dihadapi mereka. 

“Kerajaan Perpaduan sentiasa memberi perhatian terhadap isu kebajikan pekerja p-hailing dan terus komited dalam usaha memelihara kesejahteraan mereka di samping memastikan kemampanan pembangunan industri p-hailing selaras dengan konsep Malaysia Madani,” menurut kenyataan itu.

Pada 22 Julai, Anwar meminta tempoh seminggu untuk beliau bertemu dengan syarikat p-hailing bagi membincangkan isu berkaitan kadar upah pengambilan dan penghantaran yang dikatakan semakin rendah.

Perdana Menteri berkata beliau mahu mendapatkan penjelasan secara langsung daripada syarikat berkenaan berhubung situasi itu yang dilihat agak membebankan pekerja p-hailing.