Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menggunakan kad kredit peribadinya untuk mendahulukan pembelian peralatan untuk disumbangkan kepada masjid bagi aktiviti kebajikan Yayasan Akalbudi.
Rosiah Osman, 71, yang ketika itu setiausaha eksekutif Zahid berkata wang Yayasan Akalbudi kemudian dikeluarkan bagi membayar balik kad kredit bagi pembelian berkenaan.
Menurut Rosiah, kad kredit Ahmad Zahid digunakan untuk pembelian antaranya permaidani, kipas dan pendingin hawa yang disumbangkan kepada masjid memandangkan yayasan tersebut tidak mempunyai kad kredit.
“Kita menerima penyata kad kredit setiap bulan. Saya akan teliti sama ada ia perbelanjaan peribadi Datuk Seri (Zahid) atau perbelanjaan berkaitan Yayasan Akalbudi.
“Saya akan buat bayaran kad kredit menggunakan cek ditetapkan yang mana perbelanjaan peribadi Datuk Seri menggunakan cek Maybank Datuk Seri manakala perbelanjaan berkaitan Yayasan Akalbudi menggunakan cek Affin Bank yayasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Hamidi Mohd Mohd mewakili Ahmad Zahid, 70, yang diperintah membela diri terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana YAB.
Saksi pembelaan ketujuh itu berkata selepas bersara pada 7 Disember 2011, tugasnya diambil alih Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly dan beliau (Rosiah) menyerahkan kunci kabinet, buku cek peribadi Zahid dan yayasan yang belum dan telah digunakan kepada Mazlina.
“Saya berpesan kepada Mazlina supaya menggunakan cek peribadi Datuk Seri untuk membayar kad kredit bagi perbelanjaan Datuk Seri manakala cek Yayasan Akalbudi untuk membayar kad kredit bagi perbelanjaan berkaitan Yayasan Akalbudi.
“Saya juga berpesan kepada Mazlina supaya menggunakan cap tandatangan Datuk Seri untuk digunakan pada kad perayaan, surat jemputan, sijil dan surat penghargaan,” katanya yang bertugas sebagai setiausaha peribadi Zahid sejak 1994.
Selain itu, Rosiah bersetuju dengan cadangan Hamidi bahawa sepanjang perkhidmatannya, Zahid tidak pernah memberi arahan kepadanya untuk menggunakan cap tandatangan berkenaan bagi cek.
Terdahulu, ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, pegawai khas kepada Ahmad Zahid, Mohd Kamal Abdullah berkata beliau mendapati Mazlina sering cuai dalam menguruskan cek pada 2013.
Saksi pembelaan keenam itu berkata antara kecuaian Mazlina adalah menulis cek dengan jumlah yang salah selain membuat cek tidak lengkap termasuk cek melibatkan perbelanjaan Yayasan Akalbudi.
“Setahu saya, Datuk Seri memang seorang yang teliti tetapi beliau tidak akan memecat atau buang kakitangannya. Beliau hanya akan tegur. Mazlina sudah berkali-kali ditegur tetapi masih tak berubah,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.