Di Terengganu, bagaimana Muda manfaatkan kemarahan pengundi Cina terhadap kerjasama PH-BN
Walaupun ramai yang menganggap penyertaan Muda dalam DUN Bandar sebagai sia-sia, parti berasaskan belia itu boleh menyapu bersih undi protes serta sokongan pengundi atas pagar.
Di Terengganu, biarpun suhu politiknya panas kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang diadakan ketika ini namun ia tidak mengujakan pengundi Cina di sini.
Hal itu diakui seorang penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Heng yang mengatakan tidak begitu ambil pusing tentang PRN kali ini.
Pemilik kedai makan yang berusia 68 tahun itu berkata dia lebih runsing memikirkan kenaikan harga barang dan masalah ekonomi yang menjejaskan perniagaannya.
“Dok kisah pilihan raya apa pun, siapa calon... kehidupan kita sama juga.
“Berniaga la ni susah, harga barang naik, pelanggan pun makin kurang sekarang, keluh Heng ketika ditemui MalaysiaNow di kedai makannya yang terletak di Kampung Cina, Kuala Terengganu.
Heng yang sudah berpuluh tahun membuka kedai makannya berkata kesuraman ekonomi juga antara punca ramai generasi muda berhijrah ke luar Terengganu kerana ingin mencari peluang lebih baik.
“Macam ketiga anak saya semua tidak di sini, ada yang di Kuala Lumpur, berhijrah di Singapura dan Australia.
“Jadi yang tinggal di sini ramai orang tua sahaja, orang muda semua dah keluar bandar,” katanya.
Majoriti komuniti kaum Cina di Terengganu mendiami kawasan bandar dan paling terbanyak adalah di Kampung Cina.
Pekerjaan kebanyakan masyarakat Cina di sini adalah berniaga.
Kampung Cina merupakan kawasan di bawah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar selain daripada Hiliran, Losong dan Pulau Kambing yang majoritinya kaum Melayu.
Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pengundi berdaftar di kerusi itu ialah 20,268 dengan 64% merupakan pengundi Melayu, 35% pengundi Cina.
Bagi PRN kali ini kerusi itu mencuri tumpuan kerana pertarungan tiga penjuru antara PAS, Barisan Nasional (BN) dan Muda.
Penyandang kerusi itu, Ahmad Shah Muhamed (PAS) akan dicabar calon Armi Irzan Mohd dari Barisan Nasional (BN) dan Luqman Long (Muda).
Ini merupakan kali pertama Muda, sebuah parti yang mengetengahkan ideologi progresif dan mahu membawa perubahan dalam landskap politik tanah air, meletakkan calonnya bertanding di Terengganu, sebuah negeri yang konservatif.
Tindakan Muda itu mencetuskan tanda tanya bagi ahli parti politik yang lain, seperti Ying dari PKR yang mendakwa ia seolah-olah mahu mengacau undi di kerusi itu.
“Saya memang tertanya-tanya mengapa Muda mahu bertanding di DUN Bandar. Kenapa di DUN Bandar sahaja mengapa tidak di kerusi lain di negeri ini,” katanya.
Ying beranggapan strategi Muda adalah untuk mendapatkan undi dari 35% pengundi Cina di kerusi tersebut memandangkan Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada BN.
“Jadi undi Cina akan berpecah kerana selama ini, undi Cina banyak menyokong calon PH.
“Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih 80% pengundi Cina mengundi PH di kerusi DUN Bandar.
“Biarpun kita kalah di kerusi Parlimen Kuala Terengganu namun kita dapat sokongan pengundi Cina di sini,” katanya.
Menurut Ying, jika itu strategi Muda, ia tidak akan menjadi kerana corak pengundi tradisi kawasan itu hanya mengundi dua blok parti terbesar, BN atau PAS.
Jika Muda menyasarkan kepada anak muda sekalipun, ia juga tidak akan berjaya kerana majoriti generasi muda di kawasan itu berhijrah ke tempat lain.
“Sedangkan kita PKR yang dah lama bertapak di sini pun memang kita akui agak payah memujuk anak-anak kampung Cina yang duduk luar balik mengundi.
“Jadi saya tak nampak bagaimana Muda boleh berjaya,” kata wanita itu.
PKR pernah menang di kerusi DUN Bandar pada PRU13 menerusi calonnya Azan Ismail yang mengalahkan penyandang tiga penggal, Toh Chin Yaw (MCA) dengan perbezaan 2,159 undi.
Pada PRU14, PKR gagal mempertahankan kerusi itu setelah PAS keluar daripada gabungan Pakatan Rakyat.
Turut mengulas senario politik itu adalah bekas Adun Bandar, Toh yang meramalkan biarpun peluang Muda untuk menang sangat tipis, tapi mereka akan jadi penentu blok parti mana yang menang di kerusi tersebut.
Ini kerana hakikatnya kehadiran Muda akan menarik undi protes pengundi yang tidak berpuas hati dengan prestasi BN, PH dan PAS.
Tambahnya begitu juga dengan sentimen pengundi Cina di kawasan yang didakwa tidak berpuas hati kerana tiada parti yang meletakkan calon bukan Melayu mewakili suara mereka.
“Tapi kita dengar keluhan mereka sekarang ini sebab tidak ada calon yang mewakili suara mereka. Jadi ia akan membawa perasaan tidak puas hati.
“Kerana bagi pengundi Cina perlu ada satu wakil bukan Melayu di DUN Bandar yang selari dengan komposisi kepelbagaian kaum di kerusi itu.
“Dan mereka tidak cenderung kepada PAS kerana melihat dasar parti itu yang terlalu islamik,” kata penasihat eksekutif MCA Terengganu itu.
Begitu juga dengan kerjasama BN dan PH, mungkin ada undi protes daripada pengundi Cina yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan pusat yang masih gagal menyelesaikan masalah ekonomi.
“Jadi kedua-dua parti ini akan undi protes bukan kerana mereka tidak menerima calon itu tapi kerana isu yang saya sebut tadi,” katanya.
Beliau berkata paling menariknya, kehadiran Muda akan memberi pilihan atau satu alternatif kepada pengundi.
Bukan sahaja kepada pengundi Cina tapi juga kepada pengundi muda dan pengundi atas pagar kaum Melayu di kawasan itu, jelasnya.
“Sebab itu saya kata Muda beri suasana yang lain, tapi sudah tentulah atas kertasnya peluang PAS dan BN lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, calon Muda, Luqman menolak yang parti itu hanya berperanan sebagai pemecah undi dalam PRN kali ini kerana sasarannya adalah untuk menang di kerusi itu.
Anak kelahiran Terengganu itu yakin Muda boleh mencipta kejutan jika dapat membawa isu yang benar dekat dengan hati pengundi terutama hak anak muda seperti peluang pekerjaan dan gaji bermaruah.
Luqman mengakui cabarannya sudah tentu adalah memujuk anak muda kawasan itu balik mengundi kerana itu kempennya banyak ditumpu dalam platform media sosial.
“Sasaran saya nak menang, sebab saya ada harapan besar untuk mula angkat suara anak Terengganu yang selama ini dipinggirkan.
“Saya percaya dalam PRN kali ini walau orang ramai anggap Muda bertanding untuk pecah undi tapi saya percaya Muda hadir untuk bawa alternatif baru,” katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.