- Iklan -
Berita

Tiada peraturan halang pesuruhjaya Suhakam jadi calon PRN, kata Zahid

Pengerusi Barisan Nasional itu berkata beliau telah menyemak perkara itu dengan peguam sebelum mencalonkan Hasnal Rezua Merican untuk kerusi DUN Kuang di Selangor.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama calon gabungan itu bagi kerusi DUN Kuang, Hasnal Rezua Merican Habib Merican (dua kanan) pada majlis kempen di Rawang, 3 Ogos. Gambar: Bernama
Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama calon gabungan itu bagi kerusi DUN Kuang, Hasnal Rezua Merican Habib Merican (dua kanan) pada majlis kempen di Rawang, 3 Ogos. Gambar: Bernama

Tiada peraturan yang menghalang pencalonan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Hasnal Rezua Merican Habib Merican bagi mewakili Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.  

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah menyemak perkara berkenaan dengan para peguam berhubung pencalonan Hasnal Rezua Merican. 

“Tidak ada satu pun peraturan yang menghalang (pencalonan itu) dan saya telah rujuk dengan peguam-peguam kita,” katanya pada program ceramah kempen PRN DUN Kuang di Bandar Tasik Puteri, di Rawang malam ini. 

Hasnal Rezua Merican dicalon untuk mewakili BN bagi merebut kerusi DUN Kuang berhadapan dengan penyandang kerusi itu, Sallehudin Amiruddin (Bebas) dan Mohd Rafiq Abdullah (PN-Bersatu).

Zahid berkata  sebagai produk yang dilahirkan oleh Suhakam selain Hasnal Rezua Merican sendiri adalah seorang pengamal undang-undang dan beliau berpendapat tokoh sebeginilah yang harus disokong bukan sahaja oleh pengundi DUN Kuang, tetapi juga harus didukung oleh badan profesional berkenaan. 

Namun katanya, mengikut etikanya lebih sesuai Hasnal Rezua Merican untuk mengundur diri daripada Suhakam bagi menumpukan perkhidmatan beliau kepada penduduk di Kuang. 

Mengenai prestasi kempen parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan di enam negeri yang terlibat dengan PRN, Zahid berkata beliau masih belum berpuas hati.

“Tempoh berkempen hingga 8 Ogos iaitu untuk pengundi awal dan daripada 8 Ogos hingga 12 Ogos, tempohnya adalah singkat tapi kita yakin kalau kita berpuas hati dari sekarang maka kita tidak akan bekerja,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau akan sekali lagi akan turun di enam negeri berkenaan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyantuni jentera dan para pengundi. 

“Juga untuk pengundi berkenaan bagi kita menghidangkan beberapa perkara baharu sebagai pengubah keadaan untuk keenam-enam negeri ini, “ katanya. 

PRN di Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, dengan pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos ini.