- Iklan -
Berita

YB Viral cetus gelombang di media sosial dengan video ‘1R’

YB Viral dedah kisah ugutan, dan bagaimana faktor pempengaruh menjadi semakin penting pada PRU16 akan datang.

Ahmad Mustakim Zulkifli
5 minit bacaan
Kongsi
YB Viral, pempengaruh media sosial yang banyak berkongsi pandangan berkaitan isu-isu panas berkaitan polisi kerajaan dan kepentingan rakyat ketika wawancara di Taman Melawati.
YB Viral, pempengaruh media sosial yang banyak berkongsi pandangan berkaitan isu-isu panas berkaitan polisi kerajaan dan kepentingan rakyat ketika wawancara di Taman Melawati.

Kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada 2018 menjadi pencetus kepada lelaki itu untuk bergiat aktif dalam politik. 

Sebagai penyokong tegar BN, dia tidak tahan melihat tindak-tanduk dan dasar yang diperkenalkan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 22 bulan mentadbir negara.

Dia dan sekumpulan rakan lain menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan dan terlibat dalam aktivisme dan mula melancarkan kandungan mengupas isu politik dan semasa di media sosial.

Pada awalnya, dia menunjukkan wajah dalam video yang dimuat naik di saluran YouTubenya namun setelah menerima ugutan, videonya diubah kepada format penceritaan. Salurannya, YB Viral mendapat ratusan juta tontonan.

"Kita tengok (tingkah laku) Yang Berhormat dalam Dewan Rakyat, kita geleng kepala. Kita mula membuat video mengkritik Yang Berhormat dan setiap kali kita buat, video akan tular sehingga jutaan tontonan.

"Ia menjadi jenama yang signifikan. Lama kelamaan, YB Viral merujuk kepada 'Yang Bersuara'," katanya. 

Salah satu video tiktok YB Viral yang disekat selepas mendapat tontonan sebanyak 59,100 dan 613 perkongsian.
Salah satu video tiktok YB Viral yang disekat selepas mendapat tontonan sebanyak 59,100 dan 613 perkongsian.

YB Viral mencetuskan fenomena baru di TikTok tatkala aplikasi itu mula mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Kira-kira 19 juta akaun didaftarkan di Malaysia, melebihi separuh daripada jumlah 32 juta rakyat negara ini. 

Muncul dengan gaya rambut, misai dan kaca mata yang menjadi “trademark” alter egonya, lelaki yang tidak mahu dinamakan itu tampil secara bersahaja untuk mengulas isu-isu semasa. 

Saluran YB Viral berjaya menarik minat orang ramai terhadap politik. 

Ia bukan video atau “podcast” berbentuk serius, sebaliknya percakapan secara kasual, meskipun lengkap dengan data dan fakta.

Pengaruhnya cukup besar sehingga beberapa orang menteri dan bekas menteri, sama ada daripada PH atau BN, kerap berhubung dengannya secara peribadi.

Ceritanya, kemasukan beliau ke TikTok hanya dilakukan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Ini kerana dia mendapat keuntungan daripada saluran YouTube yang mana ia digunakan untuk aktiviti-aktiviti NGO.

Mewujudkan akaun TikTok hanya akan menurunkan jumlah tontonan di YouTube.

"Selepas PRU15, hari kami putuskan untuk melawan kerajaan dan tandatangan sewaan studio, ialah hari pertama saya muat naik video di TikTok. Saya mendapat 10,000 jumlah pengikut," katanya.

Ahmad Zahid Hamidi, nama yang kekal busuk

Katanya, dia dan rakan-rakan lain yang turut menghasilkan video di studio itu merasakan kerajaan ini akan menjadi teruk selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mempunyai 47 kes rasuah dan salah guna kuasa, dilantik menjadi timbalan perdana menteri. 

Zahid yang berjaya mengekalkan kerusinya di Bagan Datuk dengan majoriti kira-kira 300 undi, menjadi antara faktor penolakan masyarakat Melayu terhadap Umno dan BN sehingga mengakibatkan kekalahan paling besar gabungan itu, apabila hanya berjaya menang 30 kerusi.

Seorang krew merakam YB Viral ketika dia bercakap dalam siaran langsung di TikTok.
Seorang krew merakam YB Viral ketika dia bercakap dalam siaran langsung di TikTok.

Menurut YB Viral, ia menunjukkan “hipokrasi ekstrem” Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Meskipun dia dan rakan-rakan masih berkempen untuk BN pada PRU15, mereka tetap tidak menyokong Zahid sebagai presiden sejak PRU14.

"Dia akan musnahkan Umno. Dan itu yang terjadi di kala saya keluarkan ramalan (keputusan) PRU15. Ramalan saya paling hampir dengan keputusan sebenar, berbanding mana-mana firma kajian.

"Kita berpendapat, kalau diberikan Ismail Sabri Yaakob penuhi penggal pun, Umno tetap kalah, tapi tidak akan seteruk yang terjadi," katanya merujuk kepada pentadbiran perdana menteri ke-9 itu.

Akaunnya sudah pun mendapat capaian melebihi 55% pengguna TikTok di Malaysia, 55% di YouTube dan 35% di Facebook. 

Videonya mendapat tumpuan pengundi atas pagar selain penyokong blok utama politik negara.

Dia mengakui kehilangan “subscriber” di YouTube sebanyak 10,000 selepas bersuara tentang kerajaan Madani.

TikTok berada di tengah-tengah kontroversi selepas pembentukan kerajaan campuran apabila Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memanggil pengurusan aplikasi itu untuk berbincang mengenai kandungan yang dikatakan “ekstrem” dan “perkauman”.

Sebagai contoh, video yang membuatkan PH membuak-buak marah kepadanya ialah kritikan lelaki itu terhadap “Naratif Ekonomi Madani” yang dicanang pada Jun lepas.

Tumpu kepada 1R, bukan 3R

Dia mempertikaikan mengapa kerajaan ingin mewujudkan sebuah naratif walaupun sudah memegang tampuk pemerintah selama tujuh bulan.

"Video itu telah menyebabkan kekecohan dan ahli-ahli Parlimen kerajaan menghubungi saya.

“Mereka kemudian menukar namanya dan tidak lagi memakai istilah 'naratif'."

Anwar baru-baru ini melancarkan Ekonomi Madani yang menetapkan tujuh tanda aras dalam ekonomi negara.

Sehingga kini, YB Viral masih belum disaman mana-mana pihak.

Rahsianya terletak kepada penekanan terhadap fakta dan tidak memfitnah pihak lawan.

YB Viral juga tidak menyentuh isu kontroversi 3R – agama, kaum dan raja.

“Saya bercakap soal 1R – iaitu rakyat. Kalau kita jaga ekonomi, majoriti akan gembira, minoriti akan gembira.

“Kita boleh kembali kepada 'the good old days'."

Pendekatan itu menyebabkan videonya mudah dihadam oleh masyarakat pelbagai kaum dan membolehkan mesejnya tersebar tanpa ada kesangsian daripada kaum-kaum lain.

Membentuk pendapat awam

Tidak dinafikan, selepas PRU15 semua parti-parti utama kini faham bahawa TikTok ialah medan tempur utama yang harus ditawan.

Facebook lebih cenderung untuk menjadi gelembung manakala laman Twitter hanya menebalkan bias dan kepuakan tersendiri, dan tidak mampu membentuk pendapat awam.

Ini bermakna video YB Viral juga menerima reaksi balas daripada pempengaruh yang condong kepada PH, namun katanya, kebanyakan mereka tidak berani “tag” atau “stitch” video-video YB Viral.

Katanya, kebanyakan tentera siber kerajaan ialah “micro-influencer” di bawah PH-BN namun mesej mereka tidak bergema melepasi gelembung parti.

"Ramai dalam politik sudah biasa berceramah panjang-panjang, walhal strategi perang politik sudah bertukar.

"Ceramah berjam-jam, hendak diterjemahkan kepada video dua minit. mereka tidak tahu bagaimana hendak mula," katanya.

Ceritanya, PN sudah dilihat berjaya “memancung” kemenangan mutlak PH kerana “messaging” mereka yang lebih berjaya.

Situasi tersebut sudah diperhatikannya semasa berkempen untuk BN. 

Kedua-dua PN dan PH berkempen melawan BN semasa PRU15 lalu.

Ia bermakna dalam minda pengundi, kata YB Viral, mereka hanya mempunyai dua pilihan – Anwar atau Muhyiddin Yassin.

"Retorik Anwar terlalu banyak kemarahan dan ia menjadi terlalu rumit. Orang muda akan bertanya, kita mahukan 'atuk' yang sedemikian?

"Muhyiddin buat apa? Dia main gasing dan ikut trend 'swipe'. Rakyat berkata 'saya mahu atuk yang seperti ini yang lebih 'cool'."

Mesej yang disampaikan Muhyiddin, menurut perhatian YB Viral, jauh lebih mudah dihadam pengundi, kecuali sebahagian segmen bukan Melayu yang agak risau dengan PAS.

Ini menimbulkan persoalan kerana PH amat terkenal dengan penguasaan di media sosial sejak awal kemunculan teknologi itu.

Orang ramai pasti tertanya mengapa PH yang dahulu mendominasi media sosial, kini seakan tersungkur tanpa hala tuju. YB Viral ada jawapannya.

"PH menjadi terlalu rumit. Sampai ke hari ini, penonton tak tahu apa yang cuba disampaikan. Di Twitter, mereka buat kempen 'body shaming' yang sebenarnya berlawan dengan prinsip liberal mereka.

"Mereka masih buat perkara sama, mengutuk personaliti individu dan bukan bercakap tentang kepentingan awam."

Menghampiri PRU16, dia menjangkakan lebih ramai rakyat akan bersuara dan perkara itu akan membentuk pendapat awam.

Jangkaannya, pempengaruh yang tidak “menjual” diri dan kekal autentik akan menjadi berpengaruh.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.