Rata-rata pengguna media sosial mengkritik jawapan diberikan Anwar Ibrahim terhadap remaja yang dilihat tergamam ketika menanyakan soalan sama ada kerajaan berhasrat untuk menghapuskan sistem kuota.
Malah ramai menyifatkan tindakan perdana menteri seperti membuli kepada soalan yang diajukan oleh seorang pelajar yang tidak mengharapkan jawapan politik.
Namun beberapa kritikan pedas hadir daripada aktivis hak asasi manusia dan penulis Tashny Sukumaran, yang berkata tingkah laku Anwar adalah seperti "membuli yang menjijikkan".
"Adakah PM tidak dapat membezakan antara musuh politik dan pelajar muda? Kerana itulah satu-satunya penjelasan untuk buli yang menjijikkan ini. Tingkah laku sampah," ciap Tashy, seorang aktivis hak asasi manusia yang sebelum ini bekerja dengan badan pemikir terkemuka Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa.
Komennya itu bagaimanapun segera disambut oleh beberapa siri tweet penyokong kerajaan yang membela Anwar sambil mengecam pelajar itu yang bertanyakan soalan sedemikian.
"Hidup ini sukar, ‘suck it and grow’. Soalan-soalan provokasi patut dijawab seperti itu. Dia bukan kanak-kanak lagi!" tulis pengguna Twitter dengan nama Krypto_G yang memaparkan profil pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong Un sambil menunjukkan jari tengah.
"Nak jadi dewasa, kena tanya dan terima jawapan sebagai dewasa," kata seorang lagi penyokong kerajaan, Kapsterloong.
Pelajar tersebut merupakan individu terakhir yang bertanyakan soalan kepada Anwar semasa sesi dialog di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Kepala Batas semalam yang merupakan sebahagian daripada siri pertemuan perdana menteri dengan pengundi muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Sebelum mengemukakan soalan, pelajar tersebut merayu supaya diberi masa untuk memberi penjelasan supaya dia tidak disalah tafsir.
"Sebelum saya bertanya soalan saya, saya ingin menyatakan bahawa saya ingin mengambil masa 1-2 minit untuk bertanyakan soalan dan juga memberi sedikit penjelasan, supaya ia tidak disalahtafsirkan.
"Bilakah sistem kuota akan dimansuhkan dan digantikan dengan sistem meritokrasi? Saya dan kawan-kawan saya, serta kawan-kawan di luar yang tidak dikenali terkesan daripada sistem kuota ini hanya kerana mereka tidak memiliki status Bumiputera," soalnya.
Anwar secara ringkas menghentikan pertanyaan tersebut sebelum dia cuba menjelaskan, dengan pelajar itu dilihat tergamam pada satu ketika.
Anwar kemudian memberitahu pelajar berkenaan dia sepatutnya mengikuti sesi sebelumnya kerana beliau sudah menjawab soalan yang sama.
"Kalau awak ikut sesi 'Temu Anwar'... ada orang tanya soalan itu dan saya sudah jawab. Lain kali ikut."
Anwar kemudiannya menjawab soalan tersebut selama kira-kira 10 minit, sambil mengkritik pelajar itu kerana tidak berlaku adil kepada Bumiputera di sekolah terpencil.
Katanya, daripada menyentuh sistem kuota, di mana kumpulan Bumiputera diutamakan untuk kemasukan ke universiti awam, pelajar itu sepatutnya hanya menunjukkan kes-kes tertentu bukan Melayu dinafikan kemasukan supaya kerajaan dapat meneliti mereka.
Pelajar itu beberapa kali cuba memberi penjelasan, tetapi dicantas berulang kali oleh perdana menteri, yang disambut dengan tepukan.
Anwar kemudian mengakhiri jawapannya dengan mengatakan bahawa memansuhkan sistem kuota akan menyebabkan beliau kalah dalam pilihan raya.
Cara Anwar menangani soalan pelajar itu mencetuskan gelombang kritikan di media sosial.
Mediha berkata tingkah laku itu "cukup mengecewakan".
"Setiap kali orang dewasa bercakap dengan seorang kanak-kanak dengan cara merendahkannya, ia akan melemahkan keyakinan mereka dan memalukan mereka, saya benar-benar hilang rasa hormat," tulisnya di Twitter.
Seorang lagi pengguna Twitter menggunakan nama @housefly111 berkata: "Cara beliau potong kata-kata pelajar itu adalah cara lama sama seperti seorang bos. Hanya komunikasi sehala.”
Pengguna @ede_421 memuji pelajar itu kerana menyedari soalannya "sensitif".
"Dia betul-betul tahu tentang Q seperti ini yang diketepikan kerana kononnya mengganggu sensitiviti majoriti. Daripada menerangkan perkara ini, PM sebaliknya memilih untuk menghina budak sekolah."
Burhan dalam pada itu mempersoalkan cubaan Anwar ‘membunuh’ soalan pelajar tersebut dengan memperkatakan tentang pelajar Melayu dan Dayak yang miskin.
“Kecewa sungguh bila PM sendiri senjatakan hujah meritokrasi balik dekat dia. Seiring dengan pelajar Dayak dan Melayu yang miskin, kena angkat sekali lah pelajar India yang susah. That's her point. That's the justice she wants (Itu matlamatnya. Itu keadilan yang dia mahukan),” tambahnya.
Dalam pada itu, Nadhirah Ali membidas Anwar kerana mengaitkan soalan itu dengan kelangsungan politiknya.
"Jadi, reformasi bukan tentang membuat perubahan progresif? Hanya janji kosong sebagai cara untuk memenangi pilihan raya."
Pengguna lain mengaitkan insiden itu dengan keputusan Anwar meletakkan Najwan Halimi dari PKR meskipun dikecam oleh kaum India.
"Bukankah salah seorang calon PH mempersendakan dan menggunakan kata-kata kesat terhadap kaum lain seperti 'Indian Estet' baru-baru ini?" kata seorang pengguna bernama Jedimaster.
"Jika kita semak Manifesto PRU (14 & 15) PH sebelum ini, kita akan melihat banyak janji Reformasi adalah satu penipuan!"
Malah, ada yang berkata walaupun mereka bersetuju dengan penjelasan Anwar, namun tingkah lakunya tidak sesuai untuk seorang pemimpin dalam menangani soalan daripada generasi muda.
“Apa yang Anwar terangkan itu ada banyak betulnya tapi jangan la potong soalan dia. Dengarlah dulu, biar dia habiskan dan baru jawab. Ni belum apa-apa dah potong, not proper (tak wajar) la. Lagipun bagus dia berani bertanya, patut digalakkan bukan disergah macam tu,” tulis blueocean di Twitter.
Seorang penyokong Muda menulis tweet: “Cara menjawab seolah-olah merendahkan pemikiran seorang pelajar yang dengan ikhlas bertanya. Bagaimana pula dengan pelajar Cina dan India yang miskin dan kurang berkemampuan... Mana justice untuk mereka ini? Dulu cakap semua kaum anak dia. Sekarang jawab lain,” kata Izdham Zainal.
Bagi Hamirudin, insiden itu menunjukkan perbezaan ketara antara Anwar dan seterunya dulu, Dr Mahathir Mohamad.
“Aku tak pernah dengar Tun cakap marah-marah. Tun jenis orang yang ‘cool’,” katanya merujuk kepada bekas perdana menteri itu.