- Iklan -
Berita

Respons Anwar beri bayangan tiada perubahan dalam isu sistem kuota, kata Syed Saddiq

Presiden Muda itu mempersoalkan pendirian perdana menteri yang sudah berubah apabila berkuasa.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika mengumumkan barisan ketiga calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-15 di Kuala Lumpur, 22 Julai. Gambar: Bernama
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika mengumumkan barisan ketiga calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-15 di Kuala Lumpur, 22 Julai. Gambar: Bernama

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menyelar jawapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika ditanya oleh seorang pelajar perempuan sama ada kerajaan berhasrat untuk menghapuskan sistem kuota untuk kemasukan ke institut pengajian tinggi.

Syed Saddiq dalam satu sidang media khas berkata jawapan yang diberikan oleh Anwar semalam jelas menunjukkan tiada satu indikasi bahawa perubahan bakal berlaku melibatkan isu tersebut.

"Apa yang berubah? 20 tahun lepas cakap benda sama.

"Dulu kata lain, bila dah ada kuasa kata lain," katanya.

Syed Saddiq membuat sidang media itu susulan respons Anwar terhadap pelajar berkenaan semasa sesi dialog di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Kepala Batas, semalam.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Sebelum mengemukakan soalan, pelajar tersebut merayu supaya diberi masa untuk memberi penjelasan supaya dia tidak disalah tafsir.

Bagaimanapun, Anwar secara pantas menghentikan pertanyaan tersebut.

Beliau kemudian mengakhiri jawapannya dengan mengatakan bahawa memansuhkan sistem kuota akan menyebabkan beliau kalah dalam pilihan raya. 

Pelajar perempuan tersebut dilihat tergamam dan terkejut seketika.

Sehingga kini, cara Anwar menangani soalan pelajar itu mencetuskan gelombang kritikan di media sosial dengan ramai melabelkan beliau sebagai "pembuli".

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata isu kuota kemasukan ke institut pengajian tinggi khususnya ke Kolej Matrikulasi dan asasi universiti awam sering menjadi topik perbahasan serta masalah saban tahun tanpa mengira gabungan mana yang membentuk kerajaan.

Ini kerana katanya, sistem kuota yang digunakan oleh matrikulasi adalah 90% Bumiputera dan 10% bukan Bumiputera.

Manakala, bagi kemasukan asasi pula keutamaan 100% kepada Bumiputera.

Atas sebab itu, katanya, Muda memperkenalkan tiga cadangan bagi menambah baik sistem tersebut supaya ianya tampil lebih telus dan adil selain benar-benar membantu mereka yang layak.

Pertama, kata Syed Saddiq, ia perlu diberikan tambahan kuota khas iaitu kuota untuk golongan B40 tanpa mengira kaum.

Kedua, wujudkan satu transisi kepada sistem pendidikan yang berdasarkan keperluan.

"’Need base education model’. Memang realitinya anak-anak Melayu dari keluarga susah memang akan diberi keutamaan.

Anak-anak petani, nelayan yang datang dari keluarga susah akan tergolong dalam kumpulan ini." 

Terakhir, katanya, bagi jangka masa panjang perlu diambil kira cadangan berdasarkan piawaian antarabangsa iaitu pelaksanaan model pendidikan 12 tahun atau lebih dikenali sebagai 'K12 Education Model'.

Jelasnya, model ini menggariskan 12 tahun tempoh persekolahan.

Selepas itu, pelajar perlu menduduki satu peperiksaan umum untuk kemasukan ke pusat pengajian tinggi.

Syed Saddiq berkata, cadangan itu turut dikemukakan oleh badan-badan pemikir termasuk Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu).

"Saya nak ingatkan sekali lagi mereka yang ada di puncak kuasa, jangan lupakan janji-janji yang dibuat sebelum ini.

"Bukan saya yang buat janji-janji ini semua , mereka yang bangkitkan dan kini rakyat tuntut supaya permintaan mereka didengari," katanya lagi.