- Iklan -
Berita

Amirudin akui Azmin MB yang baik, sangat berhati-hati

Namun menteri besar Selangor berkata pendahulunya terlalu teliti dan akan mentadbir secara ‘mikro-manage’, sifat yang beliau katakan tidak bagus sebagai seorang pemimpin.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (kanan) dan pendahulunya, Mohamed Azmin Ali.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (kanan) dan pendahulunya, Mohamed Azmin Ali.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengakui bekas mentornya, Mohamed Azmin Ali adalah seorang pentadbir yang baik ketika memimpin kerajaan negeri lima tahun lalu.

Amirudin yang kini ditugaskan untuk mengharungi cabaran pilihan raya terbesar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sejak berkuasa pada 2008, menjawab soalan Khairy Jamaludin dalam edisi terbaru podcast Keluar Sekejap yang dihoskan bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.

Khairy bertanya kepada Amirudin, yang berkhidmat sebagai exco sewaktu pentadbiran Azmin, sama ada bekas bosnya itu seorang menteri besar yang bagus.

"Dalam aspek tertentu, ya, dia seorang MB yang bagus," kata Amirudin.

Bagaimanapun beliau menambah: “Tapi sebab kaedah dia mentadbir ialah ‘micro-manage’, so kadang-kadang dia akan buat keputusan yang agak lambat dan sangat berhati-hati sebagaimana membuat kira-kira matematik," kata Amirudin, merujuk kepada kelayakan akademik Azmin dalam bidang Matematik.

Ditanya sama ada kecenderungan Azmin untuk "berhati-hati" dalam membuat keputusan adalah disebabkan latar belakangnya, Amirudin berkata ia bukan sifat yang baik bagi seorang pemimpin dalam mentadbir sebuah negeri yang besar. 

Sambil berkata Azmin seorang yang bercita-cita tinggi termasuk untuk jawatan tertinggi negara, Amirudin berkata pendekatan “micro-manage" Azmin ini tidak akan membantunya. 

Amirudin dilihat semakin meningkatkan serangannya terhadap Azmin sejak menewaskannya pada pilihan raya umum tahun lepas. 

Serangan menjadi lebih sengit sejak beberapa hari ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos, dengan Amirudin tampil di pentas ceramah mendakwa beliau berjaya menarik lebih banyak pelaburan serta mengendalikan ekonomi Selangor lebih baik berbanding Azmin. 

Azmin merupakan lulusan sarjana muda sains dalam bidang Ekonomi dan Matematik dari Universiti Minnesota, kemudian menjadi guru Matematik Moden dan Matematik Tambahan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Beliau dipilih oleh Dr Mahathir Mohamad pada era 80-an untuk berkhidmat dengan kerajaan, sebelum bersama Anwar Ibrahim, sehingga kedua mereka berpisah pada 2020 susulan politik berpuak-puak dalam PKR selama bertahun-tahun. 

Azmin dilantik sebagai menteri besar Selangor pada 2014 ekoran kegagalan Langkah Kajang, strategi yang dirancang Anwar dan penyokongnya dengan matlamat untuk menggulingkan menteri besar ketika itu Abdul Khalid Ibrahim dan menggantikannya dengan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Rancangan tersebut bagaimanapun gagal berikutan tentangan daripada PAS – ketika itu sekutu PKR dan DAP – yang berakhir dengan pelantikan Azmin seterusnya menyaksikan kebangkitannya dalam politik Selangor. 

Azmin mengosongkan jawatan menteri besar pada 2018 selepas perdana menteri ketika itu Mahathir menawarkannya jawatan di peringkat Persekutuan sebagai menteri hal ehwal ekonomi. 

Selangor menjadi medan beberapa pertempuran terbesar dalam PRN akan datang, dengan Azmin mengetuai gabungan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha untuk merampas negeri itu.

Pelbagai tinjauan mengenai peluang untuk PN dan PH, yang bergabung dengan Barisan Nasional (BN) meramalkan pelbagai senario, daripada PH-BN menyapu bersih sehinggalah PN berjaya menawan negeri itu atas sokongan pengundi Melayu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.