- Iklan -
Berita

Amirudin yakin PH-BN mampu raih majoriti dua pertiga di Selangor

Menteri besar Selangor itu berkata gabungan itu boleh memenangi sekurang-kurangnya 38 hingga 40 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berucap di Taman Sekinchan Damai, Sekinchan, 8 Ogos. Gambar: Bernama
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berucap di Taman Sekinchan Damai, Sekinchan, 8 Ogos. Gambar: Bernama

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yakin gabungan Pakatan Harapan(PH) dan Barisan Nasional (BN) dapat memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga sekali gus membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini. 

Beliau berkata gabungan itu mampu menang 38 hingga 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, dengan BN dilihat mampu memperoleh lebih daripada enam kerusi. 

Sebelum DUN dibubarkan PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Satu lagi kerusi, DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada Sabtu ini.