Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan perintah larangan penerbitan berkaitan lesbian, gay, bisexual, transgender “queer” dan + Plus (LGBTQ+) pada jam jenama Swatch termasuk apa-apa koleksi kotak, pembalut dan aksesori berkaitan pada jam berkenaan.
KDN menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan perintah larangan melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 236 itu berkuat kuasa mulai hari ini.
Kenyataan itu menjelaskan pewartaan perintah larangan itu selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012.
Peruntukan itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan berkenaan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.
"Hasil penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana ia merupakan hasil penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan kemoralan, kepentingan awam dan kepentingan negara dengan mempromosikan, menyokong, dan menormalisasikan gerakan LGBTQ+ yang tidak diterima oleh masyarakat umum di negara ini," menurut KDN.
Berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya.
KDN memberitahu pihaknya komited dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan bagi membanteras penyebaran elemen, fahaman dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan dari semasa ke semasa secara berterusan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012.
“Kerajaan Malaysia komited mencegah penyebaran unsur-unsur yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan kemoralan, kepentingan awam dan negara dalam kalangan masyarakat,” menurut KDN.
Pada Mei lepas, KDN dilaporkan telah menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan komuniti LGBT.