- Iklan -
Berita

Percaya gerakan rakyat, aktivis pilih jadi calon Muda di PRN Selangor

Aktivis hak asasi manusia Dobby Chew bercakap tentang peralihannya daripada dunia aktivisme kepada kancah politik, dan harapannya untuk menggabungkan kedua-duanya.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Calon Muda bagi DUN Seri Setia, Dobby Chew, beramah mesra bersama pengundi sambil mengedarkan risalah mengenai dirinya di Kelana Jaya sewaktu berkempen untuk Pilihan Raya Negeri.
Calon Muda bagi DUN Seri Setia, Dobby Chew, beramah mesra bersama pengundi sambil mengedarkan risalah mengenai dirinya di Kelana Jaya sewaktu berkempen untuk Pilihan Raya Negeri.

Sejak lebih seminggu lalu, Dobby Chew memulakan paginya dengan rutin yang baru, mendekati para pengundi di lapangan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor. 

Lazimnya, pemuda berusia 33 tahun itu akan berada di pejabat untuk mengendalikan isu-isu berkaitan hak asasi manusia di Malaysia.

Beliau juga kebiasaannya sibuk memimpin badan bukan kerajaan (NGO) sehingga berjaya menyaksikan negara memansuhkan hukuman mati mandatori.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Chew berkata dirinya memang tidak asing lagi dengan dunia aktivisme dan bukannya berpolitik.

Menurut anak jati Selangor itu, beliau dan rakan-rakan aktivis tidak pernah putus menggerakkan masyarakat selain membantu kerajaan dalam menggubal polisi khususnya perkara libat hak asasi manusia. 

"Saya percaya tak kira isu politik atau NGO, apa yang akan mengubah negara kita ini bukan sahaja melibatkan peranan kerajaan atau orang politik tetapi gerakan masyarakat. 

"Bukan politik juga bukan sahaja memimpin sahaja tetapi menjadi suara rakyat atau fasilitator dalam memastikan rakyat membangun dan menjadi kuasa di sebalik perubahan perundangan negara," katanya. 

Pada 17 Julai, Muda mengumumkan Chew bersama lima nama lain sebagai calon PRN di Selangor. 

Chew yang juga bekas timbalan pengerusi badan hak asasi manusia, Amnesty International Malaysia mewakili parti itu bertanding bagi DUN Seri Setia yang kini disandang PKR. 

Beliau disebut-sebut antara calon-calon minoriti pada PRN kali ini dengan latar belakang yang meyakinkan diketengahkan oleh Muda pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Selain Chew, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan juga dianggap oleh pengguna media sosial sebagai calon yang mempunyai latar belakang mengagumkan kerana banyak memperjuangkan hak golongan pekerja.

Mengapa beralih dari aktivisme menjadi ahli politik? 

Dalam pada itu, ketika ditanya, apakah yang menyebabkan beliau mahu beralih arah daripada menjadi seorang pemimpin kumpulan aktivis kepada ahli politik, Chew mengakui pernah menjauhkan diri daripada segmen itu.

Menurut Chew, sejak dari awal lagi beliau tidak meminati politik disebabkan struktur "berpolitik" yang dilihat terlalu kompleks.

Katanya, setiap parti-parti politik dilihat seperti memiliki politik dalamannya yang tersendiri.

Ini termasuklah individu tertentu yang memegang kuasa di dalam parti dan jika mahu membawa nafas atau idea baru perlu perjuangkan banyak perkara dalam parti sebelum boleh tampil bersuara dalam kalangan orang awam. 

Bagaimanapun, katanya, Muda memberikan satu platform yang berlainan jika dibandingkan dengan parti-parti politik sedia ada.

"Terutamanya apabila parti itu sendiri kata kita terbuka kepada mana-mana pilihan yang kita ada."

Katanya, pengumuman itu merupakan satu peluang besar baginya untuk menggabungkan aktivisme dan politik yang juga mampu menjadi satu laluan baru dalam arena politik tempatan. 

"Di mana kita ketengahkan rakyat dan pastikan rakyat ke hadapan. 

"Bukan sahaja orang politik di hadapan yang kata kita buat semua polisi ini sedangkan orang kat bawah yang gerakannya."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.