Seminggu sebelum hari pencalonan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, sudah kelihatan bunting dan kain rentang tentang calon di kerusi Kuang.
Tidak diketahui siapa dalang di sebalik kain-kain rentang itu, tetapi sentimennya tidak boleh dipertikaikan.
"Calon Kuang perlu berjiwa Kuang", jelas tertulis di salah satu kain rentang itu.”
Kuang terletak di pinggir Sungai Buloh dengan suasana kampung.
Tidak banyak bangunan tinggi dibangunkan, namun kawasan itu ada tarikan tersendiri seperti Tasik Biru Kundang yang mempunyai potensi dari segi pelancongan.
Gugusan kampung-kampung yang majoritinya Melayu membentuk sebahagian kawasan Kuang.
Penggemar sukan berbasikal juga sering melakukan aktiviti mereka di jalan-jalan Kuang pada hujung minggu.
Di Kuang juga terletaknya masjid di mana Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil didakwa melakukan ucapan sehingga disiasat pihak polis dan badan agama negeri.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sallehudin Amirudin menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)lalu sebagai calon Bersatu.
Sallehudin kemudian keluar Bersatu dan menyertai Pejuang dan kini bertanding sebagai bebas.
Pada PRU14, beliau menang dengan majoriti 2,860 dalam pertandingan empat penjuru.
Menurut penduduk, Sallehudin difahamkan bukanlah orang tempatan.
Mungkin ini faktor mengapa kain rentang diletakkan di sekitar Kuang.
Temu bual dengan seorang penduduk Kuang, Zulkifli Junaidi, 39, mendapati sentimen berat ke arah Barisan Nasional (BN) yang hanya pertama kali kalah di kerusi itu pada PRU14 lalu.
"Masa BN pegang dulu, banyak perubahan yang dibuat untuk naikkan Tasik Biru.
“Adun BN yang dulu juga rajin bertemu rakyat," katanya merujuk kepada wakil rakyat sebelum Sallehudin.
Pada PRN kali ini, Kuang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Sallehudin (bebas), Hasnal Rezua Merican (BN) dan Mohd Rafiq Mohd Abdullah yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Antara ketiga-tiga calon ini, Zulkifli merasakan Hasnal mempunyai kelebihan sebagai calon tempatan.
Menurut lelaki itu, setakat ini hanya Hasnal yang bertemu dengan dia dan rakan-rakan.
"Dia (duduk) dekat sini.
“Yang lain jauh, kita tak tahu sangat," katanya.
Namun menurut Zulkifli yang bekerja sebagai pemandu lori, tidak semua penduduk yang mempunyai sentimen bahawa wakil mesti daripada orang tempatan.
Seorang lagi penduduk, Hairum Sanardi, 36 berkata tidak banyak isu yang dapat dilihat di kawasan Kuang.
"Kita kawasan kampung tiada apa sangat, tidak seperti kawasan bandar," katanya.
Hairum tidak meletakkan harapan mengenai perubahan drastik di kawasan itu, tanpa mengira siapa pun yang menang dan menjadi wakil rakyat.
Mengulas mengenai sentimen tempatan, calon PN, Rafiq berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan sentimen itu namun takrifan calon tempatan perlu jelas.
"Saya dari Taman Ehsan, yang dahulunya diletakkan di Kuang sebelum persempadanan semula. Kini Taman Ehsan diletakkan di bawah Bukit Lanjan.
"Jadi saya tidak tahu mesej dalam kain rentang itu ditujukan pada siapa."
Katanya, antara isu akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri termasuklah masalah strata, penempatan di atas tanah Keretapi Tanah Melayu dan banjir jika diberi peluang menjadi Adun.