Sebuah badan pemikir berkata undi Melayu nampaknya masih tidak mampu dicapai oleh gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menjelang pilihan raya negeri esok, tetapi ini tidak bermakna ia menberi jalan mudah kepada Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baru di negeri Selangor.
Ilham Center berkata pakatan pembangkang, yang kini memberi cabaran terbesar kepada PH sejak ia berkuasa pada 2008, memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 70% pengundi Melayu untuk mencapai matlamatnya di Selangor.
Memetik hasil kajian baru-baru ini, Ilham Center berkata momentum "gelombang Melayu-Islam" yang dilihat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas masih berterusan, di mana PN memenangi 52% undi Melayu diikuti BN (32%) dan PH (15%).
“Dengan situasi pasca PRU15 dijangka tidak banyak berubah dan politik dalaman Umno yang masih berkecamuk serta penerimaan Kerajaan Perpaduan yang sederhana di kalangan orang Melayu, PN dijangka terus menguasai undi kelompok ini,” katanya.
Menurut badan itu meskipun pertembungan satu lawan satu yang dicetuskan oleh kerjasama antara PH dan Umno akan menjejaskan perpecahan undi Melayu berbanding apa yang berlaku pada PRU15, ini masih tidak mencukupi untuk membantu gabungan pemerintah di peringkat persekutuan.
Sementara PH mungkin bergantung kepada Umno untuk menawan undi Melayu, Ilham Center berkata keupayaan parti itu untuk menarik sokongan masyarakat pada pilihan raya esok masih diragui.
“Kajian lapangan mendapati Umno bergelut untuk mendapatkan undi orang Melayu antaranya disebabkan faktor dalaman parti,” menurut Ilham Centre.
Dari segi pengundian orang muda, katanya, trend sokongan kumpulan ini terhadap PN yang dilihat pada PRU15 masih berterusan.
“Ternyata maklumat yang ditemui dalam kajian ini membuktikan pola itu masih kekal dan PH menghadapi cabaran untuk menganjak dan menarik sokongan pada segmen ini,” katanya.
“Walaupun PMX begitu agresif berdialog dan turun bertemu anak muda di kampus, ternyata ianya belum memadai untuk merubah secara peratusan besar menukar sokongan mereka kepada parti pemerintah.”
Kajian Ilham Centre berdasarkan persampelan populasi dengan 2,304 responden di negeri-negeri yang mengadakan pilihan raya di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu yang terlibat dalam fasa kedua dari 29 Julai hingga 8 Ogos.
Seramai 48 responden mengambil bahagian dalam temu bual mendalam, termasuk belia, pemimpin tempatan, dan wanita.
Walaupun ramalan suram dari segi sokongan orang Melayu, Ilham Centre meramalkan Selangor akan kekal di bawah PH, memetik prestasi ekonomi negeri itu serta hakikat bahawa sokongan Cina dan India “kelihatan menjadi deposit tetap".
“Sokongan bukan Melayu seakan tidak berganjak. Kempen agresif PN menakutkan segmen ini dan data kami menunjukkan pengundi bukan Melayu akan keluar tinggi di Selangor.”
PN, sebaliknya, nampaknya masih mencari strategi untuk menarik sokongan orang bukan Melayu, katanya.
“PN kelihatan tepu mencari strategi bagaimana ingin menarik sokongan pengundi bukan Melayu. Sekiranya keadaan ini kekal, PN terpaksa melupakan undi Cina, India sebaliknya terpaksa menumpukan kebergantungan kepada undi Melayu.
“Ini akan menyempitkan ruang PN menawan negeri ini. Mereka perlu memperoleh 70% dan ke atas sokongan Melayu untuk melepasi jumlah undi untuk menang. “
Satu kelebihan bagi PN, katanya, ialah ia akan mendapat faedah pemindahan undi antara penyokong PH dan mereka yang sebelum ini mengundi calon BN.
“Penyokong PH tidak mempunyai masalah untuk mereka memindahkan undi mereka di DUN yang ditandingi BN. Sebaliknya pula berlaku di DUN PH bertanding.
“Ahli Umno atau penyokong BN kelihatan canggung untuk menyokong PH.”
Namun, badan pemikir itu menyimpulkan bahawa walaupun PN boleh menambah bilangan kerusinya di kawasan majoriti Melayu, ia masih tidak dapat mengambil alih Selangor.