- Iklan -
Berita

PRN 'ujian litmus' sokongan bukan Melayu kepada PH?

Di Selangor, Pakatan Harapan mungkin berdepan dengan penurunan sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motosikal melepasi sepanduk yang memaparkan calon Pakatan Harapan Rajiv Rishyakaran di sepanjang jalan di Bukit Gasing pada 10 Ogos.
Seorang penunggang motosikal melepasi sepanduk yang memaparkan calon Pakatan Harapan Rajiv Rishyakaran di sepanjang jalan di Bukit Gasing pada 10 Ogos.

Steven Chong sanggup memandu dari Seri Kembangan untuk ke Hulu Kelang pada satu malam, semata-mata untuk mendengar ceramah politik.

Hajatnya untuk mendengar ceramah pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Mohamed Azmin Ali bagaimanapun tidak kesampaian.

Azmin tidak sempat menghadirkan diri kerana sibuk di kawasan lain.

Sebagai pengundi di Selangor, dia giat hadir ke ceramah dan program parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos ini.

Chong yang bekerja di sebuah kilang swasta berkata, dia masih belum memikirkan siapakah yang akan diundi di tempatnya nanti.

"Kali ini saya kan mengundi atas asas calon dan bukan parti," katanya.

Chong berkata, peratusan keluar undi kaum Cina mungkin tidak akan setinggi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka yang bekerja di luar kawasan mungkin memilih untuk tidak pulang mengundi.

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung di enam negeri pada 12 Ogos ini bakal menjadi ujian litmus kepada kerajaan campuran yang diketuai Pakatan Harapan (PH) setelah lebih sedekad memonopoli undi bukan Melayu.

Kaum bukan Melayu menjadi pengundi yang signifikan di negeri-negeri pantai Barat yang terlibat dengan PRN, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ini kerana sentimen dan pendirian golongan itu kepada PH tidak lagi sama seperti sebelum ini. 

Pada PRU13, kaum Cina terutamanya memberikan sokongan padu mereka kepada Pakatan Rakyat yang menjadi pembangkang ketika itu.

Beberapa kenyataan politik terutama daripada pemimpin DAP dilihat cuba membangkitkan semangat golongan bukan Melayu untuk terus mengundi mereka.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng disiasat pihak polis kerana ucapan yang berbaur 3R-agama, kaum, dan raja selepas mendakwa kuil akan dirobohkan jika PN menawan negeri itu.

Beliau juga menyamakan PN dengan kaum Mongol, dan nasib Pulau Pinang ibarat negeri China purba. 

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh semasa berucap dalam kempen di Selangor memberi amaran golongan bukan Melayu akan menghukum anak dan cucu mereka jika mereka tidak mengundi PH.

Bercakap kepada MalaysiaNow, pemerhati politik Mak Khuin Weng berkata, pengundi bukan Melayu mungkin cenderung untuk memilih parti Muda.

"Mereka tidak suka PAS jadi tidak akan undi Perikatan Nasional (PN). Tetapi mereka juga tidak suka dengan cara DAP. 

"Tidak mengapa jika Muda kalah. Bukan Melayu akan beri Muda undi secukupnya untuk menjadikan parti itu ancaman kepada PH supaya lebih menghargai undi mereka," katanya.

Katanya, perubahan sikap golongan bukan Melayu terhadap PH berpunca daripada ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP yang tidak buat kerja. 

Ini termasuk ahli majlis daripada parti politik. 

"Selama ini, PH bergantung kepada sentimen anti Umno dan PAS. Ini yang mengkambuskan perkhidmatan yang hampir tiada itu. 

"Tiba-tiba PH bekerjasama dengan Umno, dan Anwar pula banyak merapu."

Sentimen itu dapat dilihat dalam kumpulan Facebook “MBPJ Watch”.

Seorang pengguna internet, Koay Kak Seng mengkritik Adun Petaling Jaya, Rajiv Rishyakaran kerana mengecewakan pengundi di Bukit Gasing.

"Semasa mula-mula berkhidmat, beliau mungkin lebih proaktif dalam menangani isu-isu dan melibatkan diri dengan komuniti.

"Namun selepas beberapa ketika, ramai penduduk merasakan libat urusnya sudah berkurangan, menyebabkan masalah tidak dapat ditangani dan prestasi yang menyedihkan," katanya.

Jelas Koay, fokus Rajiv yang berkhidmat selama dua penggal itu dilihat bersifat “superficial” dan sekadar memuaskan hati pemimpin tertinggi DAP.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.